Pekerja kedai makan maut, motosikal rempuh Myvi

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

REMBIA 16 Januari – Pekerja kedai makan maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Jalan Datuk Dol Said, berhadapan Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Alor Gajah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi mangsa Mohd Rostam Ghazalli, 40, maut dilokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan maut itu membabitkan sebuah Perodua Myvi dan motosikal Yamaha Y15.

Katanya, sebelum kejadian Perodua Myvi, dipandu suri rumah dikatakan dalam perjalanan dari arah Alor Gajah, menghala ke Sekolah Rendah Kebangsaan Naning, manakala mangsa pula dari Sungai Petai, menuju ke Alor Gajah.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Myvi terbabit membelok ke kanan untuk masuk ke simpang dan mangsa kebetulan melalui lokasi kejadian terlanggar pintu sebelah penumpang kenderaan dipandu suri rumah terbabit.

“Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan dibahagian kepala,” katanya.

Arshad berkata mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.

“Kedua-dua kenderaan kini ditahan sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom ) bagi tindakan susulan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4677
Kongsi :
Previous post KPDN Melaka keluarkan kompaun RM91,000 tahun lalu
Next post Malaysia Madani jadi konsep baharu pupuk perpaduan
Ubah saiz-+=