MBMB Warriors balas dendam

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

DURIAN TUNGGAL 26 Januari – Kejayaan MBMB Warriors FC menjulang trofi Governor Cup Melaka 2022 disifatkan sebagai kejayaan terindah pada permulaan tahun baharu 2023.

Ketua Jurulatihnya K Rajan berkata, lebih manis, kejayaan menewaskan Tampoi FC 2-1 pada perlawanan akhir itu juga berjaya menebus kekalahan kepada pasukan sama pada aksi final Liga Melaka Divisyen 1, tahun lalu.

Katanya, kunci kejayaan penuh bersejarah itu adalah berkat kerja keras pemain, selain semangat tidak putus asa yang dipamerkan sehingga tamat 90 minit permainan.

“Untuk kejohanan ini memang kita beri tumpuan kepada persiapan yang mana setiap hari kita adakan latihan dan fokus kepada penyudah terbaik.

“Selain itu, kita juga memasukkan beberapa pemain muda berkualiti dan gabungan pemain senior dan junior itulah menjadi antara penyumbang kejayaan ini.

“Kunci paling utama ialah dalam pasukan ini tiada pemain yang berasa lebih besar. Mereka saling membantu antara satu sama lain dan itulah kekuatan pasukan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menjulang trofi berkenaan, malam tadi.

Ditanya mengenai penganjuran edisi sulung Governor Cup Melaka itu, Rajan menyifatkannya sebagai kejohanan terbaik dalam melahirkan lebih ramai bakat baharu bola sepak di negeri ini.

Katanya, perkara itu dapat dibuktikan apabila pemainnya yang baru berusia 17 tahun, Mohd Hakimi Helmi dinobat pemain terbaik perlawanan akhir.

“Saya berharap kejohanan ini akan diteruskan kerana inilah platform terbaik untuk pemain muda dalam membangunkan lagi sukan bola sepak di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1876
Kongsi :
Previous post Bertembung polis ketika pecah rumah dua tingkat
Next post Kaki palsu cetakan 3D beri keselesaan kepada Siti Noradilah
Ubah saiz-+=