11 ditahan kerana mengemis

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 18 April – Seramai 11 lelaki warga asing ditahan dipercayai terlibat dengan sindiket mengemis di bazar Ramadan dalam beberapa serbuan di sekitar negeri ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, sepanjang Op Khas Pengemis dijalankan pada 28 Mac hingga 28 April lalu, pihaknya menjalankan 52 pemeriksaan di kawasan tumpuan awam termasuk bazar Ramadan di sekitar negeri ini.

Katanya, daripada jumlah itu 11 lelaki ditahan yang mana tiga daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 12 Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 kerana menjalankan aktiviti pemerdagangan manusia.

“Lima lagi disiasat mengikut Seksyen 8(1) Akta Pungutan Ke Rumah dan Di Jalan 1947 manakala tiga lagi ditahan mengikut Peraturan 39B Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kebanyakan  warga asing ditahan ini dibawa dari negara jiran oleh sindiket didalangi warga tempatan.

“Ketika pemeriksaan op itu, ada juga warga tempatan menjalankan kutipan derma namun tidak mempunyai permit sah yang perlu dipohon daripada pihak polis,” katanya.

Dalan pada itu, Zainol menasihatkan mana-mana pertubuhan yang berhasrat untuk menganjurkan aktiviti kutipan derma perlu mengemukakan permohonan permit di Bahagian Perlesenan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti mengemis boleh menyalurkan maklumat ke Bilik Gerakan IPK Melaka di talian  06-285 4222 atau 010-364 7470.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1876
Kongsi :
Previous post ‘Open day’ selesai masalah rakyat – KM
Next post [DIKEMAS KINI] SENARAI RUMAH TERBUKA KERAJAAN NEGERI MELAKA
Ubah saiz-+=