Abang maut dalam kebakaran, adik sempat selamatkan diri

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KUANTAN, 17 Mac  — Seorang lelaki maut manakala adiknya melecur pada bahagian tangan dalam kejadian kebakaran di Felda Tersang Satu, Raub awal pagi ini. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dalam kenyataan berkata Abd Shukur Abdullah Suhaimin, 46, meninggal dunia di tempat kejadian apabila terjatuh di bahagian belakang rumah ketika menyelamatkan diri.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.42 pagi dan seramai 15 anggota dari Balai Bomba Raub dan Sungai Koyan diarahkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 38 kilometer.

“Bomba mendapati sebuah rumah jenis sementara berkeluasan 3,520 kaki persegi dan sebuah rumah kekal 3,200 kaki persegi yang terletak bersebelahan antara satu sama lain sedang marak terbakar.

“Dalam kejadian itu, Abd Shukur dilaporkan meninggal dunia apabila terjatuh di bahagian belakang rumah ketika cuba menyelamatkan diri sementara adiknya Abdul Hadi Abdullah Suhaimin, 39, melecur pada bahagian tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata anggota bomba dan pegawai perubatan sudah berusaha memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) bagi menyelamatkan Abd Shukur tetapi gagal sementara adiknya yang melecur dirawat anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Bomba berjaya mengawal kebakaran itu pada pukul 2.51 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya.

“Anggaran kemusnahan akibat kebakaran itu ialah 100 peratus bagi rumah sementara manakala hanya 20 peratus bagi rumah kekal,” katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

687
Kongsi :
Previous post Paramedik Komuniti ubah sistem kesihatan, mentaliti rakyat
Next post Doktor HRPB tampil laporan polis berhubung surat layang gangguan seksual
Ubah saiz-+=