Acu pistol kerana tak puas hati dijerit ‘hoi’

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 28 April – Gara-gara tidak berpuas hati dijerit ‘hoi’, seorang lelaki berusia 29 tahun tergamak mengacu pistol ke kepala seorang penunggang motosikal di hadapan Melaka Mall, di sini, tengah malam tadi.

Tindakan itu bagaimanapun mengundang padah apabila suspek yang cuba melarikan diri berjaya dicekup orang awam dan pengadu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu berlaku apabila pengadu yang merupakan penunggang motosikal berusia 24 tahun sedang menghala ke arah Bandar Melaka.

Katanya, ketika pengadu yang juga seorang mekanik sedang meneruskan perjalanan di lampu isyarat hijau, suspek yang memandu kereta Perodua Myvi dikatakan tiba-tiba membuat pusingan U menyebabkan hampir berlaku pelanggaran.

“Pengadu telah memberi isyarat hon kepada pemandu kereta tersebut dan telah menjerit “hoi!” sebelum suspek mengarahkan pengadu berhenti di tepi jalan di hadapan Melaka Mall.

“Pengadu telah berhenti dan pergi kepada suspek dan suspek telah memarahi pengadu sebelum mengeluarkan sepucuk pistol dari dalam kereta.

“Suspek kemudiannya terus keluar dari kereta lalu mencekak arah belakang leher pengadu dengan menggunakan tangan kanannya dan mengacukan pistol ke sebelah kiri kepala pengadu,” katanya.

Christopher berkata, pada waktu itu, telah berlaku pergelutan di antara suspek dan pengadu, sebelum pengadu berjaya merampas senjata tersebut.

“Suspek kemudiannya cuba melarikan diri dengan kenderaannya dan akhirnya diberkas pengadu dan orang awam yang berada di tempat kejadian,” katanya.

Menurut Christopher, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod berkaitan dadah dan sedang menjalani pengawasan di Balai Polis Bukit Baru bermula 1 November 2021 hingga 1 November 2023 di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, hasil penahanan itu, polis telah merampas sepucuk pistol angin jenama Wingun Patent Super Sport 702 Cal. 6mm BB berserta enam anak peluru jenama Wingun 700, selain satu bungkusan lutsinar mengandungi manik plastik berwarna hijau.

“Suspek kini direman selama enam hari dan ujian air kencingnya didapati negatif dadah. Siasatan masih diteruskan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2216
Kongsi :
Previous post Lawatan Pemimpin Kanan China, intai pelaburan di Melaka – KM
Next post Selebriti antarabangsa ‘berkampung’ di Melaka promosi TMM2024
Ubah saiz-+=