Lawatan Pemimpin Kanan China, intai pelaburan di Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

SERI NEGERI 28 April – Seorang pemimpin kanan China akan membuat lawatan dua hari pada 19 dan 20 Mei ini dan dijangka akan membuka lebih banyak peluang pelaburan ke Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri akan menggunakan peluang pertemuan tersebut bagi menunjukkan Melaka sebagai lokasi terbaik untuk pelabur China terus membuat pelaburan.

Tanpa mendedahkan nama pemimpin berkenaan, Ab Rauf berkata pertemuan itu juga mampu menjadikan China sebagai pemangkin pembangunan ekonomi negeri ini.

“Kehadiran pemimpin kanan ini dijangka akan menggalakkan lagi pelabur China untuk melabur di Melaka.

“Saya akan tunjuk Melaka sebagai sebuah negeri yang berpotensi untuk meningkatkan pelaburan dari China.

“Saya dimaklumkan, sekarang ini China berada di tangga teratas bagi pelaburan di Malaysia dan menerusi pertemuan ini, kita ambil kesempatan menjadikan hubungan Melaka – China yang sudah terjalin sejak 600 tahun dulu sebagai katalis kepada ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing di pejabatnya di Seri Negeri di sini hari ini.

photo1682667368
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Duta Besar China, Ouyang Yujing (kiri) di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Blok Bendahara, Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang Datuk Lim Ban Hong (kanan). Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, pelbagai perkara dibincangkan terutama mengenai pembangunan ekonomi.

Jelas Ab Rauf, beliau turut dimaklumkan bahawa pengunjung dan pelabur China sering memilih Melaka sebagai destinasi pilihan kerana hubungan yang telah terjalin sejak ratusan tahun dahulu.

“Sebelum ini terdapat beberapa pelabur China telah menyatakan minat untuk melabur dalam bidang teknologi tinggi, pemasangan kereta elektrik, pusat data besar (Big Data Centre), teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi berat.

“Saya turut dimaklumkan, pihaknya akan menarik pelabur China di seluruh Malaysia untuk meninjau peluang pelaburan di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1839
Kongsi :
Previous post Trafik sesak: Polis mulakan Op Lancar hingga Isnin
Next post Acu pistol kerana tak puas hati dijerit ‘hoi’
Ubah saiz-+=