Sorting by

×

Ada apa di Tanjung Tuan?

Masa Membaca:3 Minit, 41 Saat

BIARPUN berada dalam jajahan Negeri Melaka, namun Tanjung Tuan hanya boleh diakses menerusi jalan darat yang terletak dalam kawasan Negeri Sembilan.

Taman Eko Rimba Tanjung Tuan juga dikenali sebagai ‘Cape Rachado’ itu bukan sahaja terkenal sebagai tumpuan dalam kalangan pelawat mendambakan keindahan alam, malah menjadi trek mereka yang gemarkan aktiviti lasak.

Pendakian untuk ke puncak hutan simpan kekal dengan rumah api ikonik dibina pada 1906 ketika era penjajahan kolonial British itu tidak pernah putus daripada menerima pelawat kerana menjanjikan keindahan alam terutama apabila berjaya sampai ke puncak Bukit Batu Putih.

Menerusi ekspedisi Melaka Hari Ini (MHI) ke lokasi tumpuan itu baru-baru ini, kami meneroka beberapa lokasi baharu yang dianggap sebagai permata tersembunyi yang jarang dikunjungi pelawat Tanjung Tuan.

MATA MEMBIRU

Terpaksa mengambil masa sekitar lima jam, kami merasai cabarannya ketika ramai dalam kalangan peserta ekspedisi tidak melakukan sebarang persediaan mental dan fizikal

Sejurus melepas pintu gerbang utama Tanjung Tuan kami mula merasai cabaran kerana perlu mendaki laluan berturap berbukit sejauh 500 meter, sebelum melalui denai.

Meskipun mula dibasahi peluh, cuaca yang baik, keindahan alam sepanjang perjalanan dan tiupan bayu laut menjadikan kami semakin bersemangat untuk ke destinasi yang dirancang.

Melalui denai hutan tidaklah sukar, namun awas, kami perlu berhati-hati setiap kali melalui anak tangga, selain laluan yang tidak rata berikutan batuan bukit.

Dalam hutan simpan yang berbukit itu sesekali terlihat pantulan biru laut dari celahan pokok menambah pesona mata memandang dan hati terus tercelah mensyukuri keindahan tuhan.

Kira-kira setengah jam menyelusuri perjalanan denai kini kami tiba di lokasi yang ditujukan iaitu di Bukit Batu Putih.

Meskipun bukan fenomena yang aneh, persekitaran puncak dipenuhi batuan warna putih menjadikan kami amat teruja berada di puncak setinggi 223 meter dari atas laut.

tg tuan 1
KREW Melaka Hari Ini berjaya menawan puncak Bukit Batu Putih yang menjadi antara lokasi menarik buat pendaki gunung dan penggemar sukan ekstrem di negeri ini.

KILAUAN PULAU INTAN

Penerokaan kemudiannya diteruskan dengan meredah trek terletak di belakang rumah api untuk ke Pantai Pulau Intan, iaitu lokasi yang jarang disebut dalam kalangan pelawat ke Tanjung Tuan.

Telahan kami perjalanan tidak akan mencabar amat meleset kerana perlu menuruni laluan anak tangga bercerun yang boleh menyebabkan kecederaan terutama pada bahagian lutut jika tidak berhati-hati.

Ternyata laluan dikenali sebagai ‘tangga taubat’ dengan anggaran 1,000 anak tangga itu amat menguji kami, hingga terfikir apakah cabaran ketika mendaki untuk pulang nanti.

Rasa penat semuanya hilang apabila kami dihidangkan pemandangan indah air laut yang membiru ketika melangkah ke gigi pantai, nafas dihela panjang dan bersyukur selepas berjaya menamatkan cabaran tangga taubat.

tg tuan 3
PEMANDANGAN dari puncak Bukit Batu Putih.

‘SEGI TIGA BERMUDA’ MENGGERUNKAN

Tatkala berehat di bawah rimbunan pohon penglihatan kami ‘diganggu’ oleh ombak besar di tengah laut, namun agak menghairankan kerana arusnya tidak sampai ke gigi pantai.

Berkongsi pengalamannya pendaki tegar di kawasan itu, Arif Anuar, 26, mengatakan itu adalah pusaran air terhasil secara semula jadi.

“Bot mahupun kapal tidak boleh lalu di kawasan itu, dikhuatiri akan tenggelam akibat disedut oleh pusaran air,” katanya.

Bercerita lanjut Anuar berkata lokasi dipanggil ‘hidden gems’sebenarnya tapak sebuah perkampungan tetapi semua kediaman dirobohkan berikutan isu amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Difahamkan dahulu kawasan ini merupakan sebuah perkampungan dan hari ini tapak beberapa buah rumah yang dirobohkan itu masih ada lagi di kawasan ini.

“Juga terdapat beberapa buah perigi purba yang mempunyai sejarahnya tersendiri. Saya turut dimaklumkan mengenai kewujudkan pulau dinamakan Pulau Masjid yang boleh diakses dengan berjalan sekiranya air surut,” katanya.

tg tuan 4
TERPAKSA melalui curam berbatu untuk sampai ke puncak.

SESAT DI ‘PERUT’ HUTAN

Lebih lima jam berada di Tanjung Tuan tanpa sebarang persediaan dan bekalan air adalah satu pengalaman yang menyulitkan kami ketika itu.

Ditambah situasi hampir sesat menjadi pengalaman dan membawa pengajaran agar melakukan persediaan lebih rapi selepas ini.

Kegagalan menjejaki laluan denai sedia ada mengakibatkan perjalanan untuk kembali ke trek utama berdepan sedikit kesukaran namun perasaan tekad dan semangat kesepakatan menjadi kunci kami ketika itu.

Hari semakin lewat beberapa laluan yang hilang akibat pokok tumbang menyukarkan lagi perjalanan kami.

Syukur kerana deruan bunyi mesin dari rumah api menjadi panduan kami untuk mengesan trek asal, sekali gus meredakan perasaan gementar dan resah.

Kami akhirnya sampai ke tapak parkir kereta kira-kira jam 5 petang dan segala pengalaman yang dilalui sepanjang ekspedisi ini akan terus tersemat di sanubari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4694
Kongsi :
Previous post Roti arab cicah kari kambing, memang padu!
Next post Banduan lari dari Pusat Koreksional Jasin berjaya ditangkap
Ubah saiz-+=