Agong berkenan terima persembahan senarai anggota Kabinet baharu daripada Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KUANTAN 26 Ogos – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang hari ini.

Menurut kenyataan di Facebook rasmi Istana Negara sesi menghadap itu berlangsung selama satu jam 30 minit bermula jam 11 pagi tadi.

Katanya, pada sesi mengadap itu Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021 lalu.

SERI PADUKA BAGINDA berdua berkenan mengurniakan santapan tengah hari kepada perdana menteri. Foto – FB Istana Negara.

“Sesi menghadap hari ini merupakan yang kali kedua bagi Ismail Sabri selaku Perdana Menteri.

“Sesi menghadap yang pertama telah berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos 2021 lalu,” menurut kenyataan itu.

Usai sesi menghadap, Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong telah berkenan mengurniakan santapan tengah hari kepada Perdana Menteri di Istana Abdulaziz.

Sementara itu media melaporkan, kenderaan membawa Perdana Menteri dilihat meninggalkan pekarangan Istana Abdulaziz di sini, pada jam 1.38 tengah hari tadi.

Ismail Sabri sempat melambaikan tangan kepada wartawan dan jurufoto yang menanti di laluan utama ke Istana Abdulaziz.

Terdahulu, Ismail Sabri dilihat memasuki pekarangan istana pada 10.53 pagi. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

463
Kongsi :
Previous post NADMA jamin tiada isu kekurangan PPS seluruh negara
Next post Airasia food kini di Melaka, JB
Ubah saiz-+=