NADMA jamin tiada isu kekurangan PPS seluruh negara

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 26 Ogos – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memberi jaminan tiada isu kekurangan Pusat Penempatan Sementara (PPS) di seluruh Malaysia jika berlaku banjir disebabkan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Timbalan Ketua Pengarahnya, Meor Ismail Meor Hakim berkata, ini kerana kebanyakan PPS disediakan di negara ini akan menggunakan sekolah terpilih manakala dewan awam akan diperuntukkan bagi membina PPV.

Ujarnya, persediaan rapi telah dilaksanakan di kebanyakan negeri bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk monsun timur laut atau musim tengkujuh, dijangka melanda negara November ini.

“Melalui lawatan turun padang didapati kebanyakan negeri sudah melakukan persediaan rapi untuk menghadapi musibah yang tidak dijangka di seluruh negara.

“Malah, satu mesyuarat di peringkat pusat akan diadakan pada minggu kedua September depan bagi membincangkan isu kesiapsiagaan ini dengan lebih terperinci.

“NADMA menjamin tiada sebarang isu terhadap kekurangan PPS disediakan, malah dalam tempoh pandemik ini sekiranya ada mangsa banjir yang menghidap COVID-19 kita telah pun bersedia untuk memperuntukkan bangunan khas dalam setiap PPS disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Hadir sama, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra.

Dalam lawatan terbabit, beliau berpuas hati dengan perkhidmatan PKRC disediakan berikutan kemudahan fasiliti lengkap yang memberi keselesaan kepada pesakit dikuarantin.

Menurutnya, setakat ini kemasukan pesakit di pusat itu semakin stabil iaitu sekitar 50 peratus dan kebanyakannya pesakit kategori satu dan dua telah menjalankan perintah kuarantin di rumah.

“Setakat ini PKRC MITC kita menempatkan pesakit kategori tiga dan empat dengan penempatan sekitar 30 peratus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

649
Kongsi :
Previous post 338 pelajar cemerlang Melaka terima insentif
Next post Agong berkenan terima persembahan senarai anggota Kabinet baharu daripada Ismail Sabri
Ubah saiz-+=