338 pelajar cemerlang Melaka terima insentif

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 26 Ogos – Seramai 338 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Hafazan 30 Juzuk tahun 2020 menerima anugerah dan pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri Melaka.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam satu majlis ringkas mengikut norma baharu di pejabatnya hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 17 pelajar cemerlang di pelbagai peringkat menerima hadiah secara simbolik, manakala baki 321 pelajar cemerlang yang lain akan menerima anugerah berkenaan di sekolah masing-masing.

SHAREEZ DANIAL MOSHAT dari Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah menerima RM1,000 daripada Sulaiman.

Untuk tahun ini, kerajaan negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) memutuskan untuk memberi RM1,000 kepada pelajar yang memperoleh keputusan ‘Straight A+’ dalam SPM dan STPM peringkat kebangsaan serta STAM dengan keputusan Mumtaz.

Pelajar cemerlang lain termasuk pelajar Hafazan 30 Juzuk Al-Quran akan menerima antara RM300 hingga RM500.

Selain bantuan wang yang akan dikreditkan ke akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i), pelajar juga akan menerima sijil penghargaan daripada kerajaan negeri dan cenderahati.

Sulaiman berkata, sejak 2000 hingga 2021, TAPEM membelanjakan sebanyak RM268,328,554.07 berbentuk bantuan, sumbangan dan pinjaman bagi memacu pendidikan anak-anak di negeri ini.

Antara inisiatif yang disediakan TAPEM ialah bantuan pelajar sekolah rendah, biasiswa Melaka (sekolah menengah), dermasiswa pelajar serta majlis anugerah sekolah dan pelajar cemerlang negeri melaka.

“Kerajaan negeri berharap agar penganugerahan seperti ini dapat memberi suntikan semangat kepada pelajar-pelajar di negeri Melaka untuk terus mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan bidang-bidang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1953
Kongsi :
Previous post 41 guru Melaka tolak vaksin
Next post NADMA jamin tiada isu kekurangan PPS seluruh negara
Ubah saiz-+=