41 guru Melaka tolak vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 26 Ogos – Seramai 41 guru di Melaka dikenal pasti enggan menerima vaksin mengikut data Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka.

Exco Pendidikan, Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, jumlah itu bagaimanapun hanyalah sekitar 0.2 peratus daripada keseluruhan kira-kira 13,800 guru di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya bersama JPN akan mengambil langkah melaksanakan sesi libat urus untuk mendekati guru-guru berkenaan dan meyakinkan mereka untuk menerima vaksin dalam masa terdekat.

“Mereka ini saya tidak mahu melabelkan sebagai anti vaksin, mungkin mereka tidak faham atau belum terbuka hati lagi.

“Jadi, dalam tempoh sebulan ini saya yakin kita bersama pihak jabatan akan mengadakan pertemuan melalui sesi libat urus dan mendekati serta meyakinkan mereka supaya mereka terbuka hati untuk menerima vaksin.

“Kita tidak mahu jadi seperti di Johor sehinggakan kerabat diraja terpaksa libatkan diri. Insya-Allah saya yakin, di Melaka, 41 orang ini akan kita dekati sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Kerajaan Negeri Melaka Bagi Tahun 2020 yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di pejabatnya, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Melaka, Dr. Mohd Azam Ahmad dan Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Datuk Mustafa Musa.

Mengulas lanjut, Noor Effandi berkata, kesemua guru perlu memainkan peranan dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) memandangkan sekolah dijangka akan dibuka secara berperingkat mulai awal Oktober.

Katanya, setakat ini seramai 94 peratus guru di Melaka telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, yang mana hanya sekitar 479 sahaja lagi yang belum menerima vaksin.

“Insya-Allah dengan kerjasama erat Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan Negeri. kita boleh mencapai 100 peratus guru divaksin sebelum Oktober nanti.

“Dan saya juga percaya sekolah di negeri ini boleh dibuka secara berperingkat pada awal Oktober kerana Melaka pun dijangka akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

623
Kongsi :
Previous post Treler terbakar, pemandu rentung
Next post 338 pelajar cemerlang Melaka terima insentif
Ubah saiz-+=