Airasia food kini di Melaka, JB

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Airasia food, iaitu platform perkhidmatan penghantaran makanan oleh airasia Super App kini menawarkan perkhidmatannya secara serentak ke dua bandar utama iaitu Melaka dan Johor Bahru (JB).

Syarikat berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan, perkhidmatan yang diperluaskan itu adalah satu berita baik kepada pengusaha dan peniaga kecil makanan dan minuman memandangkan mereka kini boleh memanfaatkan caj komisen terendah dalam industri menerusi airasia food.

Kata kenyataan itu, sebagai simbolik pelancaran di dua lokasi baharu itu pelanggan di Melaka dan JB bakal menikmati promosi ‘hidangan percuma’ bermula sekarang sehingga 6 September depan.

Sementara itu, Ketua e-Dagang airasia Super App, Lim Ben-Jie berkata, airasia food diperluaskan dengan tujuan untuk membantu pengusaha makanan dan minuman yang berdepan cabaran dari segi kewangan berikutan caj komisen tinggi serta yuran tersembunyi yang dikenakan oleh platform penghantaran makanan lain.

“Airasia food berbangga untuk meneruskan misi kami di dua negeri di Malaysia hari ini yang menandakan lokasi keenam dan ketujuh, dan tidak lama lagi di Ipoh sebagai lokasi kelapan.

“Caj komisen terendah dalam industri dan proses pendaftaran yang mudah oleh airasia food telah menjadikan platform kami sebagai pilihan dan kira-kira 80 peratus peniaga tempatan yang berdaftar adalah pemilik restoran persendirian atau penjaja.

“Kami juga amat berbesar hati untuk berkongsi bahawa 88 peratus peniaga di semua lokasi menerima peningkatan pesanan sejak mendaftar dengan airasia food.

“Selain itu, peniaga kecil boleh memanfaatkan inisiatif pemasaran strategik kami seperti promosi Hidangan Percuma yang sentiasa dijalankan dan kini terkenal di kalangan pelanggan dan peniaga kami,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Mengulas lanjut, Ben-Jie berkata, selain memberi manfaat kepada pelanggan dan peniaga, airasia food juga bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan di kedua-dua negeri menerusi khidmat pasukan penghantaran.

Menurutnya, pasukan penghantaran airasia akan mendapat faedah seperti menjana pendapatan sehingga RM2,000 seminggu, pulangan wang tunai sehingga RM2,000, elaun kerosakan telefon, perlindungan COVID-19, perubatan dan banyak lagi.

“Sebagai Allstar (kakitangan airasia), mereka juga diberi peluang untuk mempelajari kemahiran baharu dan berkembang dalam organisasi syarikat dengan kerjaya pilihan mereka sama ada untuk menjadi sebahagian daripada syarikat digital atau penerbangan.

“Individu yang berminat untuk menyertai pasukan penghantaran airasia boleh mendaftar menerusi laman web syarikat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

750
Kongsi :
Previous post Agong berkenan terima persembahan senarai anggota Kabinet baharu daripada Ismail Sabri
Next post 1,100 burung Murai Kampung dirampas APMM
Ubah saiz-+=