1,100 burung Murai Kampung dirampas APMM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

UJONG PASIR 26 Ogos – Cubaan menyeludup keluar 1,100 ekor burung murai kampung berjaya dihidu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan di Perairan Pantai Alai, di sini malam tadi.

Rampasan berjaya dilakukan APMM selepas menerima maklumat mencurigakan di pesisir pantai terbabit sekitar jam 9.15 malam tadi.

Pengarahnya, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, kesemua burung murai kampung yang dirampas itu dipercayai untuk diseludup keluar dari negara ini.

Jelasnya, pihaknya bersama pasukan bergegas ke lokasi terbabit sejurus menerima maklumat dan menemukan bot kegiatan haram itu.

PENGARAH APPM Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah.

 

“Menyedari kehadiran penguat kuasa bot berkenaan disyaki digunakan untuk menyeludup bertindak memecut laju ke arah pantai yang gelap.

“Kemudiannya, dua individu yang berada di dalam bot itu bertindak melarikan diri ke kawasan cetek bersemak,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Beliau berkata, sebaik mendekati kawasan itu pihaknya mendapati terdapat raga berisi burung terletak di pantai berkenaan tidak sempat dimasukkan ke dalam bot berkenaan.

ANGGOTA APMM bersama rampasan burung murai.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui 55 raga berisi kira-kira 1,100 burung murai kampung yang ditinggalkan penyeludup dan kesemua burung itu dianggarkan bernilai kira-kira RM44,000.

“Burung ini dipercayai untuk dipasarkan di negara jiran kerana permintaannya yang tinggi dan dalangnya disyaki warga tempatan.

“Kes disiasat mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1156
Kongsi :
Previous post Airasia food kini di Melaka, JB
Next post Pelajar cemerlang Melaka dapat ‘tiupan’ semangat KM
Ubah saiz-+=