Pelajar cemerlang Melaka dapat ‘tiupan’ semangat KM

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 26 Ogos – “Terima kasih Ketua Menteri. Anugerah ini memberikan semangat untuk saya meneruskan kecemerlangan…untuk saya lebih berjaya di masa akan datang.”

Begitu kata Shareez Danial Moshat, 19, penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Kerajaan Negeri Melaka 2020.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah) yang meraih keputusan 9A+ itu berkata, dia tidak pernah menjangkakan akan menerima pengiktirafan sebesar itu daripada pemimpin negeri yang juga Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Namun, dia menganggap anugerah tersebut sebagai pemangkin semangat untuknya serta pelajar-pelajar lain di Melaka untuk mendapat kejayaan cemerlang di masa akan datang.

“Walaupun kami calon SPM 2020 dibebani pelbagai cabaran sebelum ini, namun segala pengorbanan itu terbalas apabila mendapat anugerah ini.

“Kejayaan ini saya dedikasikan kepada ibu bapa, adik-beradik, guru-guru dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada saya sehingga ke tahap ini,” katanya yang bakal melanjutkan pelajaran di Jepun dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

JIA Wei.

Turut berkongsi kegembiraan sama ialah penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020, Tan Jia Wei yang mendapat keputusan PNGK 4.0.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gajah Berang itu menzahirkan rasa gembira apabila dipilih kerajaan negeri untuk menerima anugerah yang terbesar dalam hidupnya itu.

“Saya sangat berbangga apabila menerima sendiri anugerah ini daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

“Sudah tentu anugerah ini memberi dorongan kepada saya untuk terus berusaha gigih dan berjaya di masa akan datang,” katanya.


SITI Nur Aqilah.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020, Siti Nur Aqilah Samsi menganggap pengiktirafan itu sebagai pembakar semangat untuknya berjaya di masa akan datang.

Pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) JAIM Al Ahmadi itu, bercita-cita untuk bergelar seorang pendidik di masa akan datang.

Ketiga-tiga pelajar tersebut antara 17 pelajar yang dijemput untuk menghadiri majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Kerajaan Negeri Melaka Bagi Tahun 2020 di Pejabat Ketua Menteri, hari ini.

Untuk tahun ini, kerajaan negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) memutuskan untuk memberi RM1,000 kepada pelajar yang telah mendapat keputusan ‘Straight A+’ dalam SPM dan STPM peringkat kebangsaan serta STAM dengan keputusan Mumtaz.

Manakala pelajar cemerlang lain termasuk pelajar Hafazan 30 Juzuk Al-Quran akan menerima antara RM300 hingga RM500 selain sijil penghargaan dan cenderahati.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

966
Kongsi :
Previous post 1,100 burung Murai Kampung dirampas APMM
Next post Tiada pengumuman Kabinet hari ini – PMO
Ubah saiz-+=