Agong: Integrasi nasional, perpaduan kaum kunci cabaran negara

0
205
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto FB Istana Negara

KUALA LUMPUR 31 Ogos – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah bahawa kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan antara kaum adalah kunci untuk negara menghadapi apa jua cabaran termasuk COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka turut menasihati seluruh rakyat agar terus menjaga kesihatan diri dan turut bersatu padu dalam mewujudkan suasana persekitaran yang selamat demi untuk membendung penularan pandemik itu.

“Seri Paduka berpandangan bahawa sikap segelintir yang tidak bertanggungjawab dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang telah ditetapkan akan hanya membawa musibah kepada masyarakat dan turut berupaya menggugat pelan pemulihan negara yang telah dirangka.

“Oleh hal yang demikian, Seri Paduka menasihati rakyat menyedari bahawa usaha mengekang pandemik memerlukan kesepaduan dan kesatuan seluruh rakyat, pemimpin serta kerajaan dengan menolak perbezaan pendapat dan mengenepikan pertikaian politik agar wujud simbiosis erat antara semuanya dalam berjuang untuk membawa negara merdeka dari pandemik yang melanda,” kata Ahmad Fadil.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kesyukuran kerana pada usia kemerdekaan negara menginjak ke-64 tahun, perpaduan dan keharmonian rakyat terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata Seri Paduka bertitah bahawa meskipun sambutan Hari Kebangsaan kali ini merupakan tahun kedua rakyat meraikannya dalam suasana ancaman pandemik COVID-19, namun ia tidak menghalang dan mematahkan semangat patriotisme dan kesatuan untuk terus meraikan hari yang penuh bersejarah.

“Seri Paduka mengajak rakyat mengimbau kembali enam dekad yang lalu di mana semangat patriotisme dan cintakan tanah air telah menyatu-padukan rakyat sekaliannya dengan tekad dan iltizam untuk bangkit menentang penjajah sehingga kemerdekaan yang diidamkan menjadi sebuah realiti.

“Justeru, Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa sekiranya semangat dan roh perjuangan enam dekad yang lalu diterap dan disuburkan kembali pada hari ini, nescaya negara juga berupaya untuk merdeka dari ancaman pandemik COVID-19 buat selama-lamanya,” kata Ahmad Fadil.

Bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan 2021 iaitu Malaysia Prihatin, Al-Sultan Abdullah turut menyeru kerajaan untuk terus merangka dan menyusun pelan tindakan untuk membantu rakyat yang terkesan dan mengembalikan semula iklim ekonomi yang sihat.

Seri Paduka bertitah rakyat wajar untuk terus dilindungi agar dapat berdiri tangkas menghadapi impak negatif kemelut ini.

“Seri Paduka turut menyeru Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) juga hendaklah terus diperkasa bagi membolehkan negara mencapai imuniti kelompok yang diharapkan. Manakala, rakyat juga sewajarnya turut berpegang teguh kepada prinsip “Malaysia Prihatin” dengan segera mendapatkan vaksin bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti,” kata Ahmad Fadil.

Al-Sultan Abdullah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan negara merangkumi petugas kesihatan, pasukan keselamatan, penjawat awam, para sukarelawan dan orang perseorangan yang telah menabur khidmat bakti kepada masyarakat dan negara.

Seri Paduka turut mengajak rakyat untuk mengingati dan menghargai para pejuang dan patriot kemerdekaan serta anggota pasukan keselamatan yang telah berkorban sehingga berjaya menyelamatkan negara daripada belenggu penjajah dan seteru negara.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah serta Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mendoakan negara terus berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT daripada segala musibah dan pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia di negara ini mahu pun mereka yang berada di luar negara.

“Seri Paduka merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya telah mengizinkan Baginda dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan bagi 2021,” kata Ahmad Fadil.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.