Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Datuk Sieh Kok Chi

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Sieh Kok Chi yang meninggal dunia, Sabtu lepas.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa dan sumbangan mendiang kepada pembangunan dan kemajuan sukan negara dan juga menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada MOM dan dunia sukan tanah air.

“Sesungguhnya semangat dan usaha besar serta pengorbanan mendiang dalam memikul tanggungjawab dan amanah sewajarnya dijadikan inspirasi kepada semua rakyat,” menurut catatan itu.

Kok Chi, 83, adalah seorang daripada individu bertanggungjawab membangunkan MOM dengan berkhidmat sekian lama sehingga badan induk itu berdiri teguh hingga hari ini.

Penerima Anugerah Tokoh Sukan 2019/2020 itu menawarkan perkhidmatan secara sukarela kepada MOM sejak 1974, dan mendiang pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatankuasa dan pasukan petugas badan induk itu sebelum dipilih sebagai Setiausaha Kehormat pada 1992.

Mendiang juga menumpukan kerjayanya kepada MOM tanpa apa-apa imbuhan sepanjang berkhidmat sebagai Setiausaha Kehormat dari 1992 hingga 2013 dan Setiausaha Agung (2013-2015) serta Penolong Setiausaha Agung (2015-2018) badan induk sukan itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1325
Kongsi :
Previous post 10,000 langkah kearah kesihatan
Next post Kerajaan sedia bantu Perodua luaskan pasaran luar negara – PM Ismail Sabri
Ubah saiz-+=