Ah long kecundang

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 12 Mac – Seorang lelaki yang menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen lebih sejak lima tahun lalu dicekup polis, Rabu lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan susulan laporan diterima daripada seorang mangsa pada 5 Jun tahun lalu.

Beliau berkata, mangsa pada 15 Mei tahun lalu telah menghubungi nombor telefon yang diperoleh menerusi iklan untuk membuat pinjaman berjumlah RM5,000 dan berurusan dengan seorang lelaki bernama Anson.

“Mangsa selepas itu dikatakan menyerahkan salinan kad pengenalan dan maklumat ahli keluarganya serta dimaklumkan akan menerima wang pinjaman berjumlah RM5,000.

“Bagaimanapun dia mendapati hanya menerima wang berjumlah RM2,000 melalui akaun bank miliknya.

“Walaupun mangsa sudah membuat bayaran balik sehingga RM19,200 namun saspek masih menghubunginya untuk meminta bayaran,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mendapati suspek aktif menawarkan pinjaman wang tanpa lesen sejak 2016 dengan menyasarkan peniaga dan kenalan sebagai peminjam.

“Malah modus operandinya dia dipercayai akan memberikan pinjaman wang lebih rendah daripada jumlah yang diminta oleh peminjam.

“Kadar faedah dikenakan adalah antara 10 hingga 15 peratus dengan tempoh bayaran selama dua tahun.

“Suspek juga disyaki cuba melambatkan tempoh bayaran balik selain dikatakan bertindak memalukan peminjam dengan membaling cat di rumah peminjam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain tangkapan keatas suspek polis turut merampas sembilan kad ATM pelbagai bank dan wang tunai berjumlah kira-kira RM53,000.

“Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

“Selain itu orang ramai diingatkan membuat pinjaman wang dengan institusi kewangan berdaftar agar tidak menjadi mangsa ahlong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1291
Kongsi :
Previous post PRN Johor: Ramai keluar awal untuk mengundi
Next post Cuaca cerah, pengundi muda DUN Maharani keluar mengundi
Ubah saiz-+=