
AHLI DEWAN BELIA MELAKA BANTU RINGANKAN BEBAN WAKIL RAKYAT
GADEK 2 Mei – Kesemua 33 Ahli Dewan Belia Melaka yang dilantik perlu bekerjasama dengan wakil rakyat mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata, antara peranan utama mereka adalah sebagai koordinator dalam menyatukan belia-belia di setiap DUN dan bergerak seiring dengan Kerajaan Negeri.
Beliau memaklumkan, pada masa sama, Ahli Dewan Belia juga diharap dapat meringankan beban wakil rakyat terutama dalam aspek pembangunan belia menerusi pelbagai aktiviti yang membawa manfaat kepada anak muda.
“Ini seiring dengan konsep ‘Dari Belia Untuk Belia’ memandangkan mereka ini akan bertindak sebagai koordinator di peringkat akar umbi dalam menyatukan belia dan menjalankan aktiviti di DUN masing-masing.
“Selepas pandemik COVID-19 yang menyaksikan program dan aktiviti belia sedikit lesu, adalah menjadi harapan sata agar belia-belia di negeri ini bersatu tanpa mengira bangsa dan agama dan seterusnya menjadi sebahagian daripada suara yang dapat mencorak kemajuan Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Gadek di Padang Awam Kampung Gadek, di sini, baru-baru ini.
Menurut Shanmugam, bagi memberi pendedahan awal kepada Ahli Dewan Belia, kesemua mereka telah dijemput menghadiri Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas pada 28 dan 29 April lalu sebagai pemerhati.
Jelas beliau, kesemua mereka hadir dalam dua sesi bagi melihat sendiri bagaimana perjalanan persidangan DUN sebenar sebelum mereka mula bersidang mewakili belia tidak lama lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.