Sorting by

×

Aidil Shahrin harap pemain Kedah kekal prestasi baik

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

ALOR SETAR 29 Ogos – Pengendali pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak, mengharapkan anak buahnya kembali cergas dan kekal pada prestasi terbaik bagi memenangi baki perlawanan dalam misi merebut tempat kedua Liga Super musim ini.

Katanya, fokus pasukan kini pada pertemuan seterusnya bertemu Sri Pahang FC pada 1 September depan, Kuala Lumpur City FC (4 September), UITM FC (8 September) dan Melaka United FC pada (12 September).

“Sudah tentu pemain keletihan, mereka bermain lima perlawanan dalam tempoh singkat, tapi mereka tidak jadikan alasan… mereka profesional dan berjaya memenangi perlawanan dan berharap mereka pulih semula untuk perlawanan akan datang.

“Tahniah buat JDT, untuk tempat kedua saya tak nak katakan lagi sebab kita ada beberapa perlawanan lagi, insya-Allah selepas perlawanan dengan KL FC kita dapat tahu lah, harap nanti pasukan dapat mata… kita tunggu dan lihat,” katanya kepada pemberita selepas KDA FC berjaya menundukkan Perak FC 1-0 dalam perlawanan malam tadi.

Katanya, kemenangan tersebut adalah keempat berturut-turut selepas Penang FC, Terengganu FC dan PJ City FC, dan KDA FC kini telah berjaya mengumpul 38 mata.

Dalam pada itu Aidil Sharin berkata, beliau mungkin akan melakukan beberapa perubahan strategi dalam misi memburu kemenangan kelima dan seterusnya buat pasukan.

“Saya akan menilai semula pemain… mungkin akan ada pertukaran antara beberapa pemain, sebab kita nakkan pemain yang ‘fresh’, ia penting untuk saya bagi mengharungi perlawanan itu nanti,” katanya.

Mengulas perlawanan malam tadi, Aidil memuji kesungguhan yang ditunjukkan semua pemain bagi memenangi perlawanan tersebut.

“Ingin saya katakan sebelum perlawanan ia bukan mudah untuk berdepan Perak, tapi semua pemain memiliki motivasi yang tinggi untuk menang. Kredit juga buat Perak FC yang bermain begitu baik, apa yang penting kami mendapat tiga mata berharga,” katanya.

Sementara itu, Penolong Jurulatih Perak FC Mohd Shahril Nizam Khalil berkata, walaupun tewas di tangan KDA FC, namun beliau berpuas hati dengan pencapaian dan corak permainan yang ditunjukkan pemain, yang mencipta banyak peluang menjaringkan gol.

“Babak pertama lagi kita dah menekan Kedah, sehingga separuh masa kedua dan kita cuba menjaringkan gol, namun dinafikan penjaga gol Kedah yang cemerlang malam ini,” katanya Kedah mempunyai penyerang berbisa yang berjaya memanfaatkan peluang terhidang menjaringkan gol.

Katanya, pasukannya juga mengetegahkan banyak pemain muda yang kurang pengalaman, jika dibandingkan pasukan Kedah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1068
Kongsi :
Previous post Jom sertai Sayembara Penulisan Rencana Perjalanan Pembentukan Malaysia
Next post Lajim meninggal dunia akibat COVID
Ubah saiz-+=