Air mata iringi suami ke Sabah

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 13 Nov. – Berat bahu memikul berat lagi mata yang memandang, itulah pengorbanan dihadapi seorang isteri yang terpaksa ‘merelakan’ kepergian si suami untuk berkhidmat sebagai pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19 ke Lahad Datu, Sabah.

Air mata yang bergenang tidak dapat menyembunyikan rasa hiba Nur Liyana Zainal, 31, ketika menghantar suami Shaiful Hafizi Sharon, 32, pada Majlis Pelepasan Pasukan Mobilisasi Kesihatan Negeri Melaka ke Negeri Sabah di Lobi Wisma Persekutuan, di sini semalam.

Menurut Nur Liyana, meskipun sedih namun dia memahami pengorbanan yang perlu dihadapi semua petugas barisan hadapan apabila berdepan dengan pandemik itu kerana dia juga merupakan petugas kesihatan yang berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Unit Pediatrik Hospital Melaka.

Ujarnya, apabila apabila suaminya, Shaiful Hafizi Sharon, 32, mengambil keputusan untuk menyertai mobilisasi pasukan bantuan itu, ia agak berat diterima kerana suami perlu bertugas di kawasan berisiko tinggi penularan COVID-19.

“Sedih memang sedih, namun saya sendiri petugas barisan hadapan dan memahami pengorbanan yang perlu ditelan.

SHAIFUL mengucup dahi isterinya sebelum bergerak meninggal bumi Melaka untuk ke Sabah, demi tugas sebagai ‘frontliners’.

“Lagipun jangkaan suami pergi pun tidak lama, lebih kurang dua minggu, jadi saya hanya mendoakan kesejahteraan dirinya dan selamat pergi dan pulang,” kata ibu kepada puteri, Raisya Azzahara, 4 dan Rania Izz Zara, 5.

Bagi, Shaiful Hafizi yang bertugas di Unit Hemodialisis hospital sama, dia sendiri agak sedih meninggalkan isteri sendirian menjaga dua puteri, namun tanggungjawab yang paling utama pada ketika ini adalah membantu petugas barisan hadapan lain berdepan wabak itu bersama-sama.

NUR Liyana

“Ini pertama kali saya menyertai misi pasukan mobilisasi dan saya lebih bertumpu untuk membuat persediaan dari segi mental kerana berada di kawasan zon merah bukan suatu perkara yang mudah berikutan kita juga merisikokan diri sendiri.

“Namun, saya perlu kuat untuk berjuang bersama ‘frontliners’ lain demi memastikan pandemik ini berakhir,” katanya.

Views:

476
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak sembilan tahun antara lapan positif COVID-19
Next post PKPB: Pengusaha gimnasium akur walaupun rugi
Ubah saiz-+=