Ajal pelajar pulang bersahur, motosikal terbabas

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

JASIN 21 Mac – Seorang penuntut Kolej Komuniti Jasin yang baharu pulang daripada bersahur bersama rakan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kampung Sebatu, Sungai Rambai di sini awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4.50 pagi itu, Ibrahim Mohd Adham, 19 yang berasal dari Bandar Baru Bangi, Selangor maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata siasatan awal mendapati mangsa yang juga pelajar semester satu kolej berkenaan bersama seorang lagi rakannya dalam perjalanan dari pulang ke rumah sewanya di Merlimau dari Sungai Rambai.

Katanya, sebelum kejadian mangsa bersama rakannya menunggang motosikal secara berasingan namun setiba di kawasan selekoh, rakannya memaklumkan mangsa berada jauh di hadapan dan tidak melihat kejadian berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas dan dia tercampak ke tepi jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Jamil berkata siasatan turut mendapati mangsa menunggang motosikal milik rakannya dan baharu pulang daripada bersahur.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat yang dijangka dilakukan pada jam 9 pagi tadi dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

602
Kongsi :
Previous post Syarikat China berminat pasarkan produk halal di Melaka
Next post Selamatkan makanan tidak habis dijual
Ubah saiz-+=