Ajal penunggang motosikal terjatuh ke dalam parit

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 4 Januari – Seorang maut manakala dua cedera selepas motosikal ditunggang mereka terbabas masuk ke dalam parit yang sedang dalam pembinaan di Jalan Bukit Katil, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Haiqal Iman Mohd Shahruddin Abdul Qayyum, 20, maut di lokasi kejadian manakala dua lagi penunggang motosikal, Chong Min Yang, 57 dan Mohd Zaim Bahrain, 31, cedera.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum kejadian ketiga-tiga motosikal dalam perjalanan dari arah Bukit Katil menghala ke persimpangan lampu isyarat Hospital Pantai.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sejurus tiba di lokasi kejadian ketiga-tiga motosikal terbabit dikatakan masuk ke laluan lencongan atau yang ditutup dengan kon oleh syarikat kontraktor.

“Kon itu dipercayai dibuka oleh orang awam dan mengakibatkan mangsa tidak nampak kerja pembaikan yang dijalankan di lokasi lalu terbabas masuk ke dalam lubang,” katanya.

Menurutnya, akibat kemalangan itu Haiqal Iman yang menunggang motosikal Honda C1004 maut di lokasi kejadian manakala dua lagi penunggang cedera termasuk luka di kepala dan patah kaki.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian turut mendapati pengcahayaan ketika kejadian gelap berlampu selain permukaan jalan sedikit basah

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan selain turut meminta orang awam yang melihat kejadian untuk tampil berkongsi maklumat,” katanya.

Christopher berkata, mangsa yang maut dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat sebelum jenazah dituntut oleh ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

Jelasnya, siasatan masih dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8590
Kongsi :
Previous post Santuni sekolah, perkasa akademik
Next post Projek ganti pembetung patuhi aspek keselamatan – Exco
Ubah saiz-+=