Projek ganti pembetung patuhi aspek keselamatan – Exco
BUKIT KATIL 4 Januari – Projek penggantian pembetung sepanjang 30 meter di Jalan Bukit Katil yang dilaksanakan sejak enam bulan lalu mematuhi aspek keselamatan yang ditetapkan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata kerja-kerja penggantian pembetung itu dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir kilat dan aliran air sungai di Parit Cina.
“Kita buat pembesaran pembetung bersaiz 4.5 meter dan 2.0 meter sepanjang 30 meter, setakat ini 15 meter pembetung di sebelah kanan jalan sudah sudah siap dan bakinya akan siap hujung bulan ini.
“Susulan kemalangan, kita terpaksa tangguhkan sementara projek ini bagi menambah baik aspek keselamatan membabitkan semua pihak termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Untuk makluman ‘Traffic Management Plan’ (TMP) dipasang bagi projek ini sudah mendapat kelulusan ‘Traffic Management Officer’ (TMO) dan JKR Melaka, tempoh masa bekerja hanya dari jam 8 pagi hingga 7 malam mengikut permit diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di lokasi kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di Jalan Bukit Katil, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah JKR Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman.
Mengulas lanjut, Hameed berkata pelaksanaan projek berkenaan telah mengikut prosedur keselamatan yang disyaratkan.
“Pihak kontraktor sudah penuhi segala aspek keselamatan, namun JKR Melaka akan buat siasatan awal bersama JKKP dan ia juga bergantung kepada pihak polis.
“Kalau ikutkan faktor pencahayaan tiada masalah kerana projek ini sudah lama berjalan, kita akan buat siasatan untuk melihat jika ada kecuaian atau kelemahan menyebabkan kemalangan,” katanya.
Terdahulu kemalangan jalan raya pada jam 6.49 pagi tadi melibatkan tiga penunggang motosikal yang terbabas ke dalam parit projek pembetungan tersebut.
Salah seorang penunggang meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.