Kembara bersama ‘campervan’ lebih jimat
DUYONG 4 Januari – “Kalau dulu kami mengembara menggunakan laluan udara, sekarang jalan darat pula menjadi lokasi kami untuk megembara mengelilingi dunia”.
Itu kata bekas pramugari sebuah syarikat penerbangan terkenal, Nor Adriana Wong Abdullah, 63, dari Seremban yang mula berkecimpung dalam aktiviti pengembaraan bersama suami sejak setahun yang lalu.
Menurutnya, hobi baharu itu ketika pandemik COVID-19 melanda negara, yang mana ketika itu dia dan suami Mohd Ghazali Udin, 63, masing-masing sudah lama bersara.
“Lagi pula kami sebelum ini memang sudah biasa ‘travel’ sana sini cuma berbeza laluan iaitu di udara dan darat, jadi kami teruskan hobi dengan mengembara menggunakan campervan (van perkhemahan).
“Kami pernah mengembara selama 16 hari pergi Thailand dengan modal hanya RM2,000, kalau mengembara guna ‘campervan’ sangat jimat sebab semua keperluan kita sediakan sendiri tetapi hanya cari tempat untuk berehat,” katanya ketika ditemui di ‘Recreational Vehicle Park Taman Bandaraya Bukit Serindit, sini, baru-baru ini.
Menurut Nor Adriana modal untuk membeli van berjenama Toyota Hiace berkenaan bernilai RM80,000 tidak termasuk barang-barang hiasan seperti langsir, katil, peti ais mini, singki dan lain-lain.
Sementara itu, Muhammad Yusof Haron, 66, dari Bukit Katil menyokong usaha Kerajaan Negeri mewujudkan tapak untuk pengembara ‘campervan’ beriadah bersama keluarga pada hujung minggu.
“Selain mencari destinasi di kawasan pantai, saya dan isteri juga sering beriadah di kawasan tasik untuk mendapatkan suasana yang berbeza.
“Saya ada van perkhemahan ini sejak tahun 2020, bila sudah bersara banyak waktu lapang jadi saya ambil peluang mengembara bersama isteri.
“Sebelum ini pernah juga pergi ke negeri lain seperti Perak, Terengganu dan Kelantan, ini memang minat saya dan isteri jadi tidak hairan lah kenapa kami selalu aktif mengembara bersama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.