Komitmen Edra sediakan sistem pendidikan berkualiti

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LINGGI 5 Januari – Sebanyak 26 buah sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kedah menerima bantuan persekolahan disediakan syarikat Edra Holdings Sdn Bhd.

Pengerusinya, Dai Honggang berkata, inisiatif menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilaksanakan itu membabitkan peruntukan keseluruhan melebihi RM400,000.

“Seramai 1,600 murid menerima manfaat menerusi sumbangan kelengkapan persekolahan seperti kasut dan beg. Sementara itu menerusi bantuan kewangan kepada sekolah pula ia memberi faedah kepada 10,000 murid di sekolah terpilih.

“CSR dilaksanakan ini merupakan inisiatif tahunan kami yang dilaksanakan sejak 20 tahun lalu, dalam usaha mendekati komuniti,” katanya.

Terdahulu beliau mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyampaikan sumbangan kepada murid dan wakil sekolah pada Program Sokongan Didikan dan Pelancaran Kempen Sumbangan Buku EDRA di Stesen Loji Janakuasa EDRA, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah; Timbalan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta tetamu lain.

Beliau berkata, bagi memupuk minat murid terhadap bidang sains dan matematik pihaknya turut memberikan perhatian kepada Kempen Sumbangan Buku membabitkan kedua-dua subjek berkenaan.

“Setakat ini menerusi projek perintis dilaksanakan kami sudah menyumbangkan 5,400 buku aktiviti sains dan matematik, daripada jumlah itu 2,000 diagihkan ke sekolah sekitar Negeri Melaka.

“Program ini sejajar dengan matlamat Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan sistem pendidikan berkualiti kepada anak-anak kita.

“Usaha ini juga bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran positif selain memberikan inspirasi serta menyuntik semangat kepada murid untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

858
Kongsi :
Previous post Kembara bersama ‘campervan’ lebih jimat
Next post Pelancong teruja Melaka berwajah baharu
Ubah saiz-+=