Pelancong teruja Melaka berwajah baharu

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDA HILIR 5 Januari – Penambahbaikan produk pelancongan oleh Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi impak positif bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) apabila pengunjung meluahkan rasa teruja ketika bercuti ke Melaka.

Bagi pelancong Nur Ain Che Noh, 36, kedatangannya kali kedua ke Melaka amat berlainan berbanding sebelum ini kerana banyak perubahan dapat dilihat khususnya tempat menarik untuk dikunjungi.

“Memang lama tidak datang Melaka, pertama kali dulu ketika anak seorang sekarang anak sudah empat jadi apabila melihat banyak sudah berubah memang teruja dan gembira.

“Dulu boleh katakan agak tidak ceria tetapi sekarang ini dengan bangunan berwarna-warni, pelbagai hiasan memang terasa seronok, malah tempat untuk dilawati pun banyak jadi kami tidak jemu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Muzium Rakyat, di sini.

Nurul Ain yang datang dari Kota Bharu, Kelantan berkata, percutiannya ke Melaka juga adalah bersempena dengan TMM2024 kerana yakin banyak tawaran istimewa yang menanti pelancong sepertinya.

“Saya sedia maklum yang tahun ini adalah Tahun Melawat Melaka jadi dengan apa yang dilakukan membuatkan saya dan keluarga teruja untuk datang.

“Malah suami tidak sabar untuk tunggu waktu malam kerana ingin melihat sendiri keindahan hiasan lampu berwarna-warni dan menikmati suasana malam.

“Saya dan suami memang rancang perjalanan kami pada hari biasa berbanding hujung minggu kerana ingin mengelak daripada kesesakan,” katanya.

Img 20240104 235749 668
NURUL AIN

Sementara itu, seorang lagi pelancong yang datang dari Kuching, Sarawak, Nur Farizah Kasmani, 31, berkata, percutiannya ke semenanjung bersama 13 ahli keluarga dan memilih Melaka sebagai lokasi percutian kerana sambutan TMM2024.

“Apabila diberitahu oleh rakan yang Melaka sedang menyambut TMM2024 dan banyak tawaran menarik serta tempat untuk dikunjungi jadi kami semua sepakat ke sini.

“Kami sempat naik ke Menara Taming Sari, ia satu pengalaman yang amat menarik dan seronok, jadi, kami sudah rancang ke beberapa lagi lokasi menarik lain,” katanya.

Katanya, dia dan keluarga juga tidak melepaskan peluang untuk merasai keenakan asam pedas yang begitu sinonim dengan Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4754
Kongsi :
Previous post Komitmen Edra sediakan sistem pendidikan berkualiti
Next post Pelantar Stadthuys ‘port’ baharu OOTD
Ubah saiz-+=