Aktiviti korek pasir diarah dihentikan sementara

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER LIMAU 12 Sept. – Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) dan Jabatan Perikanan Melaka mengarahkan aktiviti mengorek pasir Sungai Rembau di Paya Lebar, Lubok Cina, di sini untuk tujuan komersial dihentikan sementara kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, arahan itu dikeluarkan kedua-dua agensi berkenaan selepas mengadakan pemeriksaan mengejut di tapak operasi semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan gagal mematuhi SOP ketika menjalankan kerja terbabit di lokasi diluluskan kerajaan negeri.

“Pemeriksaan mengejut itu mendapati syarikat berkenaan gagal mematuhi SOP dan kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang gagal berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas operasi dijalankan pelbagai agensi di tapak mengorek pasir di Sungai Rembau semalam.

Sementara itu Jabatan Perikanan negeri dalam kenyataan melalui Facebook rasminya melaporkan, selain pegawai jabatan itu, turut serta dalam pemeriksaan ialah pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, BKSA, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan dan polis.

“Bertindak atas aduan nelayan, operasi Jabatan Perikanan bersama-sama agensi penguatkuasa yang lain diadakan di tapak projek mengorek pasir Sungai Rembau dan pemantauan secara berterusan akan diadakan bagi memastikan syarikat mematuhi SOP,” katanya.

Sementara itu sumber berkata, arahan menghentikan sementara operasi itu membabitkan kerja mengorek pasir di kawasan Teluk Berembang di Sungai Rembau manakala operasi di kawasan Tebing Urut masih dibenarkan tetapi dengan syarat yang ketat.

Ketua Jaringan Perikanan Kampung Paya Lebar, Mohamad Jantan, 71, berkata nelayan menyambut baik arahan berkenaan kerana ia mampu menyelamatkan habitat ikan, udang dan ketam yang terjejas akibat kerja mengorek pasir sungai.

“Kehidupan kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan sejak kerja mengorek pasir dijalankan, hasil tangkapan kami merosot amat ketara,” katanya.

Pada April 2019 kerja mengorek pasir di sungai yang sama diarahkan oleh Perbadanan Ketua Menteri (CMI) supaya menghentikan operasi kerana melanggar syarat operasi dan terlalu hampir dengan Pangkalan Nelayan Tebing Urut.

Pengurus Besarnya, Jamzuri Ardani dilaporkan berkata, arahan itu adalah berasaskan kegagalan syarikat berkenaan memaklumkan kepada CMI dan Pejabat Tanah dan Galian Daerah Alor Gajah untuk memindahkan operasi dari lokasi kedua ke lokasi ketiga, selain kedudukannya yang hanya kira-kira 100 meter dari pangkalan nelayan.

Views:

268
Kongsi :
Previous post Kerajaan negeri teliti kaedah terbaik tangani hakisan pantai
Next post Raja Muda Perlis mencemar duli berangkat ke Melaka
Ubah saiz-+=