Sorting by

×

Raja Muda Perlis mencemar duli berangkat ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 12 Sept. Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berbesar hati atas kesudian Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencemar duli berangkat ke Melaka.

Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin ke Melaka bersempena Program ‘Cyclejom Perlis Ride dan Sukaria Charity’ yang mana Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam turut berkenan menyertainya.

Sulaiman berkata, kesudian Tuanku Syed Faizuddin mencemar duli ke Melaka adalah satu penghargaan bukan sahaja buat kerajaan negeri malah penduduk.

Beliau berkata, ini mencerminkan betapa tingginya keprihatinan Tuanku dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, terhadap Melaka.

TUANKU Syed Faizuddin berkenan bergambar bersama Mohd Ali, Sulaiman, Hasim (tiga kanan) dan Muhammad Jailani (dua kanan).

“Jutaan terima kasih daripada kami rakyat Melaka atas kesudian
Tuanku berdua memilih Melaka sebagai destinasi untuk mencemar duli melalui program mendekati rakyat Melaka.

“Saya beranggapan ini adalah satu penghormatan yang amat tinggi diberikan kepada Melaka,” katanya ketika berucap sempena ucapan Menjunjung Kasih dan Keberangkatan Mencemar Duli Raja Muda Perlis.

Hadir sama, Toh Puan Asmah Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Dr. Hasim Hasan, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad.

Menurut beliau, ini adalah kali pertama Tuanku Syed Faizuddin dan keluarga sanggup mencemar duli berangkat ke Melaka yang bersejarah.

SULAIMAN (kanan) menyambut ketibaan Tuanku Syed Faizuddin (tengah) sambil disaksikan Mohd Ali (kiri).

“Keberangkatan ini membawa misi besar iaitu untuk menyantuni warga Melaka, sekali gus menjulang nama Perlis ke persada yang lebih tinggi.

“Malah pada program hari ini juga Tuanku juga telah menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf disepanjang kayuhan serta menyantuni rakyat,” katanya.

Terdahulu, pelepasan ‘flag off’ program itu berlangsung di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir dan kemudiannya tamat di Taman Mini Malaysia dan Asean di Ayer Keroh.

Ketibaan pasukan berbasikal itu di lokasi penamat disambut Sulaiman bersama Hasim dan Roslan.

Ketibaan Mohd Ali bersama Tuanku Syed Faizuddin kemudian disambut dengan demostrasi silat sebelum menyempurnakan gimik perasmian dengan menanam pokok mengkudu.

Views:

628
Kongsi :
Previous post Aktiviti korek pasir diarah dihentikan sementara
Next post Anjing gigit tangan bayi tiada lesen
Ubah saiz-+=