Alat pengesan banjir bawa tuah kepada Kruss Makers SMK Krubong

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 13 Oktober – Meskipun terpaksa bergelut dengan masa dan memerah otak dalam tempoh singkat, ahli kumpulan Kruss Makers berasa puas apabila mereka diumumkan juara kategori Negeri Melaka pada Cabaran Cetakan 3D, Techlympics Malaysia 2023.

Dalam masa empat jam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong ini, menghasilkan
alat pengesan banjir yang kemudian berjaya menambat hati juri.

Guru pengiring Kruss Makers, B Nathan berkata, empat pelajarnya berlatih selama seminggu sebagai persiapan bagi menyertai pertandingan tersebut.

“Kumpulan Kruss Makers ini disertai empat pelajar tingkatan tiga yang mana menerusi Cabaran 3D, peserta perlu menghasilkan alat dan reka bentuk yang mengikut tema.

“Saya nasihatkan peserta untuk membuat rekaan yang memberi manfaat dan mereka menghasilkan alat pengesan banjir yang hanya perlu dipasang pada tembok rumah mengikut ketinggian tertentu.

“Sekiranya terdedah kepada air alat itu akan mengeluarkan bunyi bagi memberikan amaran kepada pemilik rumah. Jadi alat ini sesuai dipasang di persekitaran rumah atau lokasi awam bagi mengesan banjir dengan lebih awal,” katanya ketika ditemui di lokasi pertandingan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Dalam pertandingan terbabit semua juara mengikut kategori negeri membawa pulang hadiah berupa medal dan sijil kemenangan.

Juara bagi kategori Negeri Johor dirangkul SMK Senggarang, sementara itu SMKA Telok Kemang diumumkan juara bagi kategori Negeri Sembilan.

Untuk rekod, sebanyak 603 buah sekolah meliputi Zon Selatan menghantar seramai 3,357 peserta menyertai 10 cabaran dan misi yang dipertandingkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3125
Kongsi :
Previous post RICE Melaka @UTeM ketengah produk inovasi Melaka
Next post Karnival MSN dan Techlympics Malaysia 2023 medium membudayakan STI
Ubah saiz-+=