Karnival MSN dan Techlympics Malaysia 2023 medium membudayakan STI

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 13 Oktober – Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 Peringkat Negeri Melaka dan Techlympics Malaysia 2023 Peringkat Zon Selatan merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dalam membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pelaksanaan utama karnival tersebut adalah untuk meraikan kepelbagaian teknologi serta inovasi di Melaka.

Katanya, ia juga memberi peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan dalam mengetengahkan teknologi serta inovasi mereka kepada rakyat negeri ini.

“Karnival ini merupakan platform sesuai untuk mengetengahkan dan memperkenalkan teknologi dan inovasi tempatan kepada umum.

“Pada karnival ini kita bawakan 20 reruai pameran terdiri daripada pelbagai pengamal STI dan agensi Kerajaan Negeri yang akan menjadi tumpuan pengunjung sepanjang tiga hari karnival ini berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Melaka dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Selatan yang dirasmikan oleh Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata Techlympics Malaysia 2023 pula merupakan pertandingan berteraskan STI yang dirangka bagi menarik minat pelajar dan belia.

“Menerusi pertandingan ini, peserta didedahkan untuk mempelajari teknologi-teknologi terkini dan mengaplikasinya secara lahiriah menerusi ciptaan-ciptaan inovasi seperti robotik, dron, pengekodan serta lain-lain lagi.

“Apa yang diharapkan, anak-anak Melaka khususnya, dapat memanfaatkan inisiatif kerajaan dalam usaha menggerakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif, program dan aktiviti untuk membudayakan STI,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1463
Kongsi :
Previous post Alat pengesan banjir bawa tuah kepada Kruss Makers SMK Krubong
Next post FAMA Melaka edar 114 tan metrik beras, jamin bekalan cukup
Ubah saiz-+=