FAMA Melaka edar 114 tan metrik beras, jamin bekalan cukup

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SERKAM 13 Oktober – Sebanyak 114 tan metrik beras yang diperolehi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka diedarkan dan dipasarkan ke semua Japerun, outlet Agrobazaar Rakyat serta peruncit di negeri ini.

Pengarahnya, Hairudin Yunos berkata, ia bagi memastikan rakyat di Negeri Melaka mendapatkan beras putih tempatan dengan lebih mudah, sekali gus mengelakkan bekalan daripada terputus.

Selain itu, pihaknya turut bekerjasama rapat bersama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh, Kawal Selia Padi dan Beras serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi memastikan rakyat di negeri ini mendapat bekalan beras putih tempatan.

“Tidak ada isu mengenai beras putih tempatan di Melaka, berdasarkan maklumat diperolehi daripada Kawal Selia Padi dan Beras negeri, bekalan yang ada untuk rakyat Melaka mencecah 500 tan metrik. Daripada jumlah besar itu hampir 400 tan metrik sudah diedarkan.

“FAMA negeri sendiri memperolehi 114 tan metrik yang mana kita edarkan 30 tan metrik minima setiap minggu ke semua 28 Japerun yang menjalankan Jualan Agro Madani selain 27 outlet Agrobazaar Rakyat (ABR) FAMA serta peruncit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Go Cashless di ABR Mini Esah Haniff di Jalan Umbai, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hairudin berkata, langkah intervensi dilaksanakan FAMA itu bagi memastikan rakyat boleh mendapatkan bekalan beras putih tempatan dengan lebih mudah.

Menurutnya, menerusi kaedah itu, tiada kesukaran dialami rakyat Melaka untuk mendapatkan bekalan beras dan tiada isu berkaitan masalah itu.

“Di peringkat awal isu berkenaan, mungkin ada pembelian panik sehingga timbul masalah kesukaran mendapatkan bekalan beras putih tempatan di pasaran.

“Bagaimanapun, melalui Kerajaan Negeri, beberapa kaedah baharu masih dalam perancangan akan dilakukan bagi mengatasi masalah berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1053
Kongsi :
Previous post Karnival MSN dan Techlympics Malaysia 2023 medium membudayakan STI
Next post MISDEC pilihan anak muda kuasai TVET
Ubah saiz-+=