RICE Melaka @UTeM ketengah produk inovasi Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 13 Oktober – Kerajaan Negeri menubuhkan Pusat Penyelidikan, Inovasi, Perkomersilan dan Keusahawanan (RICE) Melaka @UTeM bagi mengukuhkan ekosistem dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu menjadikan Melaka sebagai negeri pertama mewujudkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi kecemerlangan sosioekonomi di peringkat negeri.

“Kita memutuskan agar Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menubuhkan sebuah Pusat R&D yang dikenali sebagai RICE Melaka @UTeM. Selain itu Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan berjumlah RM100,000 setiap tahun untuk menggalakkan lagi aktiviti STI.

“Dengan penubuhan RICE ini, UTeM perlu memberikan maklum balas kepada Kerajaan Negeri untuk mengatur segala perancangan dalam bidang inovasi.

“Sudah tentu selepas ini RICE mampu menjadi pusat kecemerlangan yang unggul dan berupaya menarik lebih banyak pihak untuk terlibat dalam bidang R&D, pengkomersialan serta inovasi di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran RICE Melaka@UTeM dan Pelancaran Bank Inovasi Melaka (BIM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim.

Pada majlis itu turut diadakan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dan UTeM sempena pelancaran RICE Melaka@UTeM.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata BIM yang diletakkan didalam RICE Melaka@ UTeM bertujuan untuk menggalakkan anak-anak muda mengetengahkan produk inovasi mereka.

“BIM akan menjadi pusat rujukan utama bagi maklumat strategik berkaitan STI di Negeri Melaka, sekali gus menyokong keperluan komuniti STI melalui pengurusan pengetahuan inovasi sosial yang berkualiti.

“Justeru, saya menggalakkan setiap sekolah di negeri ini mahupun di bahagian selatan menjadikan bidang teknologi robotik sebagai pendidikan asas di peringkat awal.

“Hasil inovasi sekolah ini akan disimpan di BIM dan dijadikan rujukan untuk dibawa ke tahap lebih tinggi sama ada peringkat nasional atau antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

961
Kongsi :
Previous post 628,168 sertai Techlympics Malaysia Zon Selatan 2023
Next post Alat pengesan banjir bawa tuah kepada Kruss Makers SMK Krubong
Ubah saiz-+=