Alumni 4B banyak berjasa untuk kerajaan dan masyarakat

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KOTA LAKSAMANA 31 Mac – Penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Alumni 4B bukan sahaja bergiat aktif membantu mensejahterakan rakyat malah berjasa mengembalikan mandat rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, sejak awal penubuhannya yang dicetuskan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam yang pada ketika itu berperanan sebagai Presiden Alumni 4B terus menyumbang bakti kepada kerajaan dan masyarakat.

Malah katanya, NGO itu meneruskan kesinambungan kepimpinan serta kerja-kerja membantu masyarakat setempat di setiap pelosok negara.

SULAIMAN berucap pada Majlis Makan Malam Alumni 4B.

“Alumni 4B Melaka bukan sahaja aktif di dalam kegiatan masyarakat, bahkan alumni ini banyak membantu kerajaan BN Melaka sehingga mendapat mandat sebagai kerajaan pada PRN lepas.

“Bukan itu sahaja, saya juga lihat ahli 4B sangat prihatin terhadap masyarakat dan cepat mengambil tindakan apabila berlakunya bencana alam seperti bencana banjir yang melanda negeri pada awal Januari 2022.

“Saya juga difahamkan ahli-ahli alumni 4B menghulurkan bantuan dari segi kewangan dan makanan kepada mangsa-mangsa banjir di setiap Pusat Penempatan Sementara (PPS) Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Alumni 4B di sini yang turut dihadiri Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir dan Presiden Alumni 4B Melaka, Datuk Wira Hasan Abdul Rahman.

Majlis Makan Malam Alumni 4B.

Sulaiman berkata, usaha berterusan NGO itu adalah usaha murni yang pastinya diberi ganjaran pahala oleh Allah S.W.T selain menyuntik semangat persaudaraan dan kebersamaan dalam kalangan ahli.

“Usaha itu tidak mampu dicapai dengan sebaiknya tanpa usaha gigih dan sumbangan pelbagai pihak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1343
Kongsi :
Previous post Juruterbang pelatih cedera ringan, pesawat tergelincir dari landasan
Next post Meriahkan semula Kompleks Ikan Bakar Terapung
Ubah saiz-+=