Anggota bomba meninggal dunia akibat COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SEREMBAN 8 Ogos – Seorang anggota bomba bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, dekat sini, dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19.

K Pragas, 49, dilaporkan meninggal dunia jam 10.30 malam tadi di Hospital Tampin.

Berita kematian mendiang, dimaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan melalui hantaran di Facebook rasmi jabatan itu hari ini.

“…berita kematian ini disampaikan sendiri oleh adik mendiang En Sanggar melalui talian telefon ke BBP Seremban 2,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan mendiang dimasukkan ke hospital berkenaan pada 1 Ogos lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 Mohd Asree Abd Hamid berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehnya, mendiang dikesan positif COVID-19 pada 21 Julai selepas dia bersama ahli keluarga termasuk isteri membuat ujian saringan, 19 Julai lalu.

Menurutnya, pada peringkat awal Pragas yang berkhidmat di Unit Khas menjalani kuarantin di rumahnya di Rantau, dekat sini.

“Disebabkan keadaan kesihatannya yang dilihat kurang stabil, mendiang kemudian dibawa ke Hospital Tampin pada 1 Ogos lalu bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun kami menerima laporan bahawa Pragas meninggal dunia pada jam 10.30 malam tadi di hospital berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, kali terakhir dia bercakap dengan mendiang pada 2 Ogos lalu dan Pragas sempat bertanya keadaan rakan sekerja di balai.

“Mendiang berkhidmat di bawah saya selama lebih 10 tahun selepas berpindah ke BBP Seremban 2 dari BBP Nilai dan meninggalkan isteri dan tiga anak berusia bawah 12 tahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

799
Kongsi :
Previous post Henti keluar kenyataan mengelirukan- Mustapa
Next post Azizulhasni sempat mohon restu, doa ayah
Ubah saiz-+=