Azizulhasni sempat mohon restu, doa ayah

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

DUNGUN 8 Ogos – Atlet berbasikal negara Datuk Azizulhasni Awang bukan sahaja mempunyai semangat juang tinggi tetapi juga sentiasa menyayangi serta mengutamakan restu keluarga.

Ia diakui abang iparnya Mohd Razman Mohamad, 36, yang menyifatkan Azizulhasni sebagai insan yang wajar dicontohi dalam pelbagai perkara, bukan sahaja melibatkan sukan berbasikal.

Beliau berkata Azizulhasni yang lebih dikenali sebagai ‘Jijoe’ di kalangan ahli keluarga sempat menghubungi Awang Embong, 72, yang terlantar akibat strok malam tadi untuk memohon restu dan doa supaya beroleh kemenangan dalam acara keirin di sukan Olimpik, hari ini.

Tambahnya, meskipun Azizulhasni peroleh pingat perak dan bukannya pingat emas seperti yang dihasratkan seluruh rakyat Malaysia, namun kesungguhan Azizulhasni sudah cukup membanggakan seluruh ahli keluarga.

“Jijoe ada telefon ahli keluarga malam tadi untuk bertanya khabar dan minta kami doakan kejayaannya.

“Oleh itu saya minta semua sembilan adik beradik Jijoe untuk lakukan solat hajat bagi mendoakan bukan sahaja kejayaan, malah keselamatannya supaya tidak berlaku insiden seperti yang menimpa rakan sepasukannya tempoh hari,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Dalam aksi yang berakhir pagi tadi, Azizulhasni menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang jaguh Britain, Jason Kenny manakala pelumba Belanda yang juga juara dunia 2020, Harrie Lavreysen di tempat ketiga.

Mohd Razman berkata, dalam perbualan telefon malam tadi juga, Azizulhasni yang merupakan anak kelapan daripada sembilan adik-beradik turut menyatakan beliau akan mendedikasikan kemenangan di Olimpik untuk bapanya yang mengalami dementia.

“Tadi pun kami beri ayah tengok perlawanan itu secara langsung di telefon kerana ayah tak boleh bangun dan kesihatannya semakin teruk dari hari ke hari.

“Jadi dikesempatan ini saya nak mohon juga agar rakyat Malaysia mendoakan kesembuhan ayah supaya beliau dapat melihat Jijoe mengharumkan nama negara di kejohanan Olimpik akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

591
Kongsi :
Previous post Anggota bomba meninggal dunia akibat COVID-19
Next post Raih perak, Azizulhasni tidak dapat kawal tangisan
Ubah saiz-+=