Sorting by

×

Anggota JPJ kejar penunggang motosikal maut kemalangan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut dalam kemalangan jalan raya ketika mengejar seorang penunggang motosikal di Kilometer 13 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Plaza Tol Gombak di sini hari ini.

Sebelum kejadian kira-kira 10 pagi itu, Muhammad Azizi Azizan, 30-an, dikatakan sedang meronda bersama beberapa anggota lain dengan menunggang motosikal di lokasi sekitar tol berkenaan.

Mangsa dikatakan mengejar penunggang motosikal itu kerana penunggang terbabit cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

Motosikal mangsa terbabas dan menyebabkannya terjatuh lalu dilanggar sebuah kereta dari arah belakang.

Pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan Muhammad Azizi meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail ketika ditemui di lokasi mengesahkan kejadian dan memaklumkan mayat Muhammad Azizi dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Noor Ariffin Mohamad Nasir dalam kenyataan berkata kemalangan maut berkenaan berlaku ketika mangsa sedang mengejar seorang penunggang motosikal yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya JPJ di lorong motosikal Plaza Tol Gombak dalam keadaan melawan arus.

“Mangsa mengejar penunggang motosikal berkenaan di lorong kecemasan dari arah Plaza Tol Gombak menghala ke arah Sri Gombak. Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan ke atas motosikalnya dan terbabas ke lorong paling kiri jalan sebelum dilanggar oleh sebuah kereta yang tidak sempat mengelak,” katanya.

Beliau berkata saksi kejadian atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-664 5812 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2222.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam hantaran menerusi laman Facebook mengucapkan takziah kepada keluarga Muhammad Azizi, Pembantu Penguat Kuasa JPJ Kuala Lumpur.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat. Muhammad Azizi adalah seorang anggota yang cukup komited dalam menjalankan tugas. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada warga MOT (Kementerian Pengangkutan) khususnya JPJ,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

777
Kongsi :
Previous post Pekerja kilang cemas topi keledar jadi sarang lebah
Next post Lata Mageshkar meninggal dunia pada usia 92 tahun
Ubah saiz-+=