Anggota, pegawai perlu jaga imej Polis Melaka
SERI NEGERI 26 Ogos – Semua pegawai dan anggota polis di negeri ini dinasihatkan agar sentiasa meningkatkan integriti diri bagi mengelakkan salah laku yang boleh menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata, sekiranya didapati terdapat anggota mahupun pegawai yang melanggar tata kelakuan, mereka akan dikenakan tindakan tahan kerja serta-merta.
“Bersesuaian dengan fokus Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Seri Razarudin Husain @ Abd. Rasid iaitu meningkatkan integriti dan tata kelola yang baik, Polis Melaka setiap masa mengingatkan pegawai dan anggota agar tidak terlibat dalam apa-apa jenayah atau salah guna kuasa.
“Kita boleh lihat bahawa mana-mana pegawai atau anggota polis terlibat khususnya dalam jenayah dadah, maka tindakan tahan kerja akan diambil serta-merta.
“Selain itu, pegawai-pegawai penyelia juga perlu mengawal selia pegawai dan anggota di bawah jagaan mereka dengan baik supaya perkara sebegini dapat kita pantau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri ke-74 di Balai Adat Seri Negeri, di sini hari ini.
Pada istiadat itu, Zainol dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) membawa gelaran Datuk Wira yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Dalam pada itu, Zainol berkata sempena sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pula, Polis Melaka sudah membuat persediaan rapi untuk memastikan kesesakan lalu lintas di negeri ini dapat diatasi.
“Seiring dengan hasrat Ketua Menteri Melaka, kita mahu pastikan pelancong yang datang ke negeri ini berada dalam keadaan selamat selain memastikan kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.