Antibodi mereka yang sembuh kluster Sungai Lui lemah – KP Kesihatan

0
389
KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA 14 Julai – Kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas mereka yang sembuh daripada COVID-19 dalam kluster Sungai Lui mendapati kehadiran antibodi yang rendah, iaitu hanya 20 peratus, yang bermakna mereka boleh dijangkiti kembali.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kajian dari negara lain turut mendapati mereka yang dijangkiti COVID-19 berhadapan dengan antibodi yang semakin berkurangan selepas lapan minggu pulih.

“Sepatutnya mereka yang dijangkiti COVID-19 mengalami peningkatan antibodi sehingga  80 peratus,” katanya kepada pemberita pada sidang media perkembangan COVID-19 di KKM di sini, hari ini.

Oleh itu, katanya, Malaysia sedang menimbang untuk menjalankan kajian fasa ketiga mengenai COVID-19 dalam mencari kaedah terbaik untuk merangsang antibodi yang berkekalan pada pesakit yang sudah sembuh.

Mengulas mengenai sifar penularan tempatan kes COVID-19 pada hari ini Dr Noor Hisham berkata ia menepati unjuran modelling KKM sebelum ini yang menyatakan pada tarikh ini kes penularan tempatan adalah sifar.

“Kes positif COVID-19 baharu pada hari ini adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang kita tidak dapat kawal,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kebimbangan KKM pada masa ini, Dr Noor Hisham berkata beliau khuatir rakyat mula leka dan kembali kepada kehidupan normal tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Barah virus (COVID-19)  itu ada lagi dan boleh merebak atau kembali kalau kita leka dan tidak ambil tindakan  pencegahan atau jaga kebersihan,” katanya.

Ditanya sama ada KKM bercadang menjadikan pemakaian pelitup muka sebagai mandatori, Dr Noor Hisham berkata KKM tidak berhasrat untuk menggunakan kaedah sebegitu.

“Bagaimanapun, KKM amat menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka terutamanya ketika berada di tempat awam,” katanya lagi.

– BERNAMA