Anwar umum pelantikan 27 timbalan menteri

KUALA LUMPUR, 9 Dis –  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan pelantikan 27 timbalan menteri.

Anwar berkata senarai nama itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

“Istiadat angkat sumpah akan dijalankan di Istana Negara pada 3 petang esok,” katanya.

Pengumuman itu, yang dibuat di Putrajaya pada 8.15 malam, disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen dan platform media sosial.

Pada Jumaat lepas, Anwar mengumumkan pelantikan dua timbalan perdana menteri dan 28 anggota Jemaah Menteri bagi Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu pada sebelah petang, Anwar mempersembah senarai nama timbalan menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Steven Sim dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah manakala Ahli Parlimen Beaufort Datuk Siti Aminah Aching dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.

Turut menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan ialah Datuk Hasbi Habibollah selaku Timbalan Menteri Pengangkutan, Chan Foong Hin sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Hanifah Hajar Taib sebagai Timbalan Menteri Ekonomi dan Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad selaku Timbalan Menteri Kerja Raya.

Selain itu, Pengarah Strategi PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari sebagai Timbalan Menteri Pertahanan manakala Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong pula diumum sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,  Ahli Parlimen Lahad Datu Datuk Mohamad Yusof Apdal sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi manakala Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup selaku Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi.

Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup manakala Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Naib Presiden PKR K. Saraswathy diberi kepercayaan menggalas jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ahli Parlimen Sarikei Datuk Seri Huang Tiong Sii sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim manakala Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Anwar turut mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Kulai Teo Ni Ching sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Ahli Parlimen Batu Sapi Khairul Firdaus Akbar Khan selaku Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya manakala Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri.

Turut dilantik Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni (Timbalan Menteri Kesihatan) dan Ahli Parlimen Sepanggar Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud (Timbalan Menteri Sumber Manusia).

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abd Halim pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan manakala Ahli Parlimen Tanjong Lim Yui Hing selaku Timbalan Menteri Pendidikan.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1046
Previous post Lapan individu ditahan terlibat sindiket pelaburan dalam talian
Next post Juruteknik didenda RM7,000 hantar komunikasi lucah