Aplikasi digital lancarkan urusan MPAG

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

ALOR GAJAH 27 Oktober – Pelaksanaan perkhidmatan digital oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) memendekkan lagi tempoh urusan dan kelulusan permohonan selain memudahkan orang ramai membuat aduan awam.

Yang Dipertua MPAG Tpr Saifuddin Abdul Karim berkata, sejak dilaksanakan 1 Jun lalu sudah 700 pelanggan memanfaatkan kemudahan digital berkenaan yang juga antara langkah untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada penduduk daerah ini.

Saifuddin berkata, pihaknya menjangkakan 10 peratus daripada keseluruhan pelanggannya khusus pemohon lesen perniagaan akan memanfaatkan kemudahan itu menjelang hujung tahun ini dan meningkat kepada 50 peratus menjelang pertengahan 2023.

“Urusan secara digital ini memendekkan proses kelulusan permohonan yang mengambil masa cuma 15 minit sahaja berbanding jika dilakukan secara manual. Bukan sahaja kepada pelanggan kami turut mengaplikasikan sistem digital ini untuk memudahkan urusan antara jabatan di MPAG.

“Setakat ini kami membangunkan lapan sistem untuk aplikasi teras dan 31 sistem aplikasi sokongan. Kami juga mengalu-alukan maklum balas orang ramai, jika ada kekurangan sistem ini akan ditambahbaik dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pejabat MPAG oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Ali, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara aplikasi dibangunkan bagi sistem perkhidmatan pendigitalan tersebut adalah Sistem Lesen Online, Sistem Permohonan Sewaan Gerai, Sistem Perjawatan Online, Sistem e-Voting dan Sistem Aduan Awam Bersepadu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1745
Kongsi :
Previous post UTeM rangka kerjasama teroka teknologi bateri dan hidrogen
Next post Eks Rembia: Uji tahap kesiapsiagaan agensi penyelamat
Ubah saiz-+=