UTeM rangka kerjasama teroka teknologi bateri dan hidrogen

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH – Kerjasama penerokaan teknologi bateri dan hidrogen antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta rakan kongsi dari Jerman dilihat mampu membantu memacu perkembangan ekonomi Negeri Melaka dan Malaysia amnya.

Naib Canselor UTeM Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kerjasama penerokaan teknologi itu akan membabitkan pemain industri berprestij Global Business Düsseldorf di North Rein Westfalia dan Münster University, Jerman.

Massila berkata, perkara itu diperincikan ketika lawatan ke Jerman baru-baru ini diketuai Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam yang juga Canselor UTeM.

Katanya, langkah proaktif itu sebahagian agenda UTeM untuk terus menyerlah dalam penyelidikan dan inovasi teknologi tenaga dunia yang mampu memberi kesan langsung buat Negeri Melaka serta pelaburan bagi Malaysia.

“Antara lain agenda ini turut untuk memastikan penyelidikan dan pendidikan yang dijalankan UTeM terus kekal relevan bersama industri semasa di peringkat antarabangsa.

“Langkah ini turut menjadikan UTeM sebagai hab bagi teknologi bateri dan hidrogen yang terus melalui revolusi selari dengan permintaan serta perkembangan semasa dunia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yakin kepakaran, sumber manusia dan makmal berteknologi tinggi dimiliki UTeM mampu membantu merealisasikan projek yang bakal dilaksanakan kelak.

“Projek ini bakal menjana impak berangkai secara langsung buat pelajar UTeM kerana mereka akan menggunakan peluang ini bagi mendalami teknologi yang melibatkan kejuruteraan tinggi proses pembuatan bateri,” katanya.

Turut bersama pada lawatan itu Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar, Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Canselori Datin Wira Ts Nurazlina Md Sanusi.

Selain itu hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UTeM Holdings, Datuk Wira Sazali Muhd Din, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah (PPS) UTeM, Ts Dr Suriati Akmal dan Penyelaras Pusat Antarabangsa UTeM, Dr Aimie Nazmin Azmi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2017
Kongsi :
Previous post 36 mangsa banjir Alor Gajah dipindahkan ke PPS
Next post Aplikasi digital lancarkan urusan MPAG
Ubah saiz-+=