APM Alor Gajah tangkap dua ‘King Cobra’

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

ALOR GAJAH 9 Sept – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah berjaya menangkap dua ular tedung selar atau King Cobra, sepanjang empat meter dengan berat antara empat hingga enam kilogram (kg) semalam.

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD), Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, reptilia berbisa itu ditangkap sebuah inap desa di Lendu dan di dalam longkang di Loji Air Bertam, Padang Keladi.

Beliau berkata, ular tedung selar pertama sepanjang 3.96 meter dan seberat enam kilogram (kg) ditangkap pada jam 6 petang.

ANGGOTA APM memeriksa ular tedung selar yang ditangkap. Foto – ihsan APM Alor Gajah.

“Kita menerima panggilan kecemasan daripada pengadu dikenali sebagai Leon,60, pada jam 5.27 petang.

“Empat anggota APM diketuai Sarjan (PA) Mohd Faisal Ahmad bergegas ke tempat kejadian dan tiba jam 5.52 petang.

“Tindakan pantas dan kecekapan anggota membolehkan ular itu yang bersembunyi di belakang almari ditangkap menggunakan penjerut dalam masa empat minit saja,” katanya dihubungi di sini.

Beliau berkata, ular itu dipercayai datang dari kawasan kebun kelapa sawit berhampiran.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, dalam operasi berasingan, jam 8 malam semalam, pihaknya berjaya menangkap seekor lagi ular tedung selar seberat empat kg di Loji Air Bertam, Padang Keladi.

Katanya, kehadiran ular tedung selar di dalam longkang di loji berkenaan dikesan seorang petugas sebelum menghubungi pihak APM.

KOPERAL (PA) Ahmad Firdaus Inshaary (kiri) bersama pasukannya memasang pital pelekat pada kepala ular. Foto ihsan APM.

“Saya menasihati orang ramai tidak cuba menangkap sendiri haiwan berbisa termasuk ular bagi mengelak bahaya.

“Anggota kami sebaliknya terlatih dalam melakukan tugasan seumpamanya,” katanya.

Sementara itu, Leon berkata, ketika kejadian dia berada di pejabat inap desa itu yang belum beroperasi sejak lebih setahun lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

“Saya sangka biawak tapi terkejut melihat anjing saya menyalak ular tedung selar yang terus menyelinap ke belakang almari.

“Selama ini saya biasa tangkap biawak dan ular kecil di kawasan sekitar, namun melihatkan saiz ular tedung itu yang besar dan panjang, saya terus menghubungi talian 999 untuk bantuan,” katanya dihubungi di sini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

762
Kongsi :
Previous post Laman sesawang baharu dilancarkan kongsi maklumat tepat COVID-19
Next post Kadar kematian individu lengkap vaksinasi COVID cuma 0.009 peratus – Khairy
Ubah saiz-+=