APM, NCSM gabung kepakaran laksana aktiviti sukarelawan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 19 Oktober – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama dalam melaksanakan kerja-kerja sukarelawan di negeri ini.

Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, menerusi kerjasama itu kedua-dua pihak bukan sahaja dapat berkongsi kepakaran malah impaknya akan turut dirasai masyarakat setempat.

“Dalam usaha untuk menyalurkan ilmu asas pertahanan awam, ini adalah platform terbaik. Malah sukarelawan kita akan mempunyai ilmu bukan berkaitan pertahanan sahaja, tetapi juga menyampaikan, sekali gus meningkatkan kesedaran berkaitan kesihatan terutamanya kanser.

“APM Melaka mempunyai seramai 250 sukarelawan aktif dan menerusi kerjasama ini jumlah itu mampu ditingkatkan. Perkembangan ini akan membantu dan meningkatkan lagi kesiapsiagaan APM dalam menghadapi sebarang bencana serta menyalurkan bantuan awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan APM bersama Persatuan Kanser Kebangsaan (NSCM), di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan, NCSM Dr. M Murallitharan dan Pengerusi Pegawai Bersekutu Korporat APM, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Mike Thein.

Menurut Kamarulsyah, APM mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dan sokongan untuk melatih orang awam dengan ilmu menyelamat serta menangani kejadian bencana atau sebarang bentuk kecelakaan.

“Melalui pendekatan ini, sumbangan daripada segi tenaga dan bentuk lain terhadap komuniti dapat dijalankan bersama-sama, sekali gus melahirkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab.

“Sukarelawan ini tidak kisah sama ada daripada APM mahupun NCSM mereka ini ada kemahiran tersendiri, jadi sekarang kita gabungkan kedua-duanya dan secara tidak langsung meningkatkan lagi kemahiran sedia ada serta menguasai ilmu baharu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

855
Kongsi :
Previous post Pertandingan Tradisi Sari Queen tarikan Pesta Deepavali 2023
Next post E-sukan: Piala TYT Championship 2023 tawar hadiah RM10,000
Ubah saiz-+=