“Arwah tiba-tiba menjadi sangat manja – Ibu kanak-kanak lemas

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BUKIT PALAH 19 Mei. – “Patutlah sejak kebelakangan ini, Azhan (Badrol Azhan Nizam Bachik, 9) selalu cium pipi saya dan berubah menjadi sangat manja.

“Rupanya ia adalah petanda anak bongsu saya itu akan meninggalkan saya buat selama-lamanya.”

Itu luahan sebak Rohana Sukiman, 43, kepada wartawan mengenai perubahan sikap anaknya itu yang ditemukan lemas di dalam tali air di Kampung Gelam, Tanjung Kling, jam 9.35 pagi tadi oleh pasukan Multi-Skill Team (MUST) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

ANGGOTA bomba bertungkus-lumus dalam operasi SAR mencari mangsa yang mulanya dilaporkan hilang. Gambar kecil Badrol Azhan Nizam Bachik.

Penemuan itu susulan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak petang semalam untuk mencari mangsa yang pada awalnya dilaporkan hilang dalam kejadian sama turut mengorbankan rakan karibnya, Muhammad Fakhrullah Rozami, 9, yang ditemukan lemas oleh bapanya sendiri jam 6.15 petang semalam.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Fakhruddin yang juga kembar dan abang Muhammad Fakhrullah bagaimanapun terselamat.

Menurut Rohana, dia seperti dapat merasakan Azhan tidak melarikan diri dari kawasan tali air itu sejak semalam walaupun banyak pihak mengandaikan anaknya itu berada di tempat lain.

“Sehingga jam 3 pagi tadi, saya dan suami mencari Azhan (Badrol) tapi setiap kali melalui kawasan tali air, hati saya kuat mengatakan dia sebenarnya ada di situ.

“Rupanya, benarlah seperti apa yang saya rasakan apabila arwah ditemukan di situ pagi tadi,” katanya sebak.

Tambahnya, ketika mendapat tahu Muhammad Fakhrullah ditemukan lemas jam 6.15 petang semalam melalui kumpulan WhatsApp, dia segera bergegas ke rumah ibu bapa untuk bertanya tentang Azhan.

“Mereka beritahu, Azhan ikut bermain sekali dan memang ketiga-tiga mereka adalah rakan sekelas dan membesar bersama sejak kecil.

“Memang di kebun itulah mereka selalu bermain cuma semalam kejadian banjir menyebabkan air di kawasan itu naik sehingga paras 1.8 meter,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

499
Kongsi :
Previous post Rawatan kanak-kanak radang kulit mencecah RM25,000
Next post Penjawat awam tular di TikTok sokong Israel, dicekup polis
Ubah saiz-+=