Rawatan kanak-kanak radang kulit mencecah RM25,000

Masa Membaca:2 Minit, 47 Saat

BATU BERENDAM 19 Mei. – Usianya baru 10 tahun namun terpaksa menanggung derita penyakit keradangan kulit ‘pastular psoriasis’ tahap empat, sejak dua tahun lalu.

Muhammad Khairul Affan Khirul dikesan mengalami penyakit kulit sejak berusia enam tahun, namun keadaannya bertambah kritikal sehingga tidak mampu berdiri dan hanya terlantar di katil serta tidak boleh terdedah dengan cahaya matahari.

Bapanya, Khirul Che Salleh, 44, berkata, sejak dua tahun lalu dia dan isteri, Rosnah Hamid, 38, berulang-alik ke Hospital Melaka dan Hospital Kuala Lumpur untuk merawat penyakit Muhammad Khairul Affan atau lebih mesra disapa Affan sebelum doktor pakar mengesahkan Affan menghidap penyakit pastular psoriasis tahap empat.

KHIRUL menunjukkan kesan luka akibat keradangan kulit dihidapi anaknya.

Katanya, doktor memaklumkan penyakit itu sukar diubati dan hanya dibekalkan dengan krim bagi meredakan keradangan kulit yang semakin merebak ke seluruh badan.

“Sejak lapan bulan lalu keadaan Affan semakin teruk hingga kulitnya bersisik serta berair sampai keluar darah terutama di bahagian perut.

“Bermula dari itu, badannya semakin susut dan Affan tidak mampu bangun, malah tidak boleh berpeluh serta sentiasa perlu berada dalam keadaan dingin,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sutera Wangi di sini.

Mengulas lanjut, bapa kepada tujuh cahaya mata berusia dua hingga 17 tahun itu berkata, Affan perlu diberi pemakanan khusus termasuk makanan berasaskan bahan organik sebagaimana disarankan doktor.

Jelasnya, doktor memberitahu penyakitnya berkemungkinan berpunca dari tiga sebab iaitu sama ada daripada keradangan kolon, darah atau hati seningga menyebabkan kulit sentiasa mengelupas dan luruh.

MUHAMMAD Khairul Affan yang menghidap penyakit pastular psoriasis.

“Setiap hari, isteri terpaksa mandikannya sebab jika dibiarkan badannya berbau berikutan kulitnya sentiasa luruh, berair dan liang kulit kadangkala keluar darah.

“Apabila dimandikan, Affan akan meraung kesakitan sehingga boleh didengari jiran tetangga sampai ada yang anggap kami pukul anak, namun kami terpaksa malah sudah kering air mata untuk menatap kesakitan ditanggungnya,” katanya.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, ketika berdepan masalah kesihatan Affan, Khirul sekali lagi diuji apabila diberhentikan tugas sebagai Penasihat Syariah di sebuah syarikat yang terpaksa mengurangkan tenaga kerja akibat pandemik COVID-19 melanda negara Mac tahun lalu.

“Kini saya bergantung kepada pendapatan ihsan menerusi jemputan mengajar agama atau memberi ceramah di masjid.

“Ia hanya sekadar cukup membayar pinjaman bulanan rumah kerana pihak masjid pun sudah perketatkan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

MUHAMMAD Khairul Affan terlantar di katil selepas tidak mampu berdiri lama.

Menurut Khirul, selepas kisahnya tular menerusi laman sosial sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini, satu kumpulan pengamal perubatan hadir menghulurkan tawaran untuk merawat penyakit anaknya.

“Saya dalam dilema kerana kos untuk merawatnya sebagaimana dimaklumkan mencecah hingga RM25,000 dan kos bulanan dari segi menyediakan kelengkapan ubat dan pemakanan Affan lebih kurang RM2,700, namun kami beli apa yang termampu sahaja.

“Saya tidak pernah cerita kesusahan dialami kepada orang lain kerana bimbang jadi fitnah namun apabila ada beberapa individu mula perasan saya tidak dapat buat kelas, tengok saya kadang-kadang keletihan, mereka cuba selidik masalah yang saya hadapi dan cuba membantu.

“Bagaimanapun, sebagai bapa saya dan keluarga akan cuba sedaya-upaya berusaha untuk memulihkan penyakit anak saya,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan bagi menampung kos rawatan Muhammad Khairul Affan boleh menyalurkan menerusi akaun Maybank Khirul Che Salleh: 106129006686.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

705
Kongsi :
Previous post Konstabel polis didakwa bunuh rakan sekerja
Next post “Arwah tiba-tiba menjadi sangat manja – Ibu kanak-kanak lemas
Ubah saiz-+=