Awan kumulonimbus bawa ribut petir ke P.Pinang semalam – Met Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

GEORGE TOWN, 9 Feb – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Pulau Pinang memaklumkan kejadian angin kencang yang berlaku di negeri itu semalam berpunca daripada awan kumulonimbus yang membawa ribut petir berskala kecil.

MetMalaysia Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini berkata keadaan itu boleh berlaku pada sebelah petang sepanjang minggu ini dan pihaknya akan sentiasa memantau serta mengemas kini amaran cuaca dari semasa ke semasa.

“Berdasarkan pemantauan MetMalaysia Pulau Pinang, Stesen Meteorologi Butterworth telah merekodkan jumlah hujan sebanyak 19.4 milimeter (mm) pada pukul 6 petang semalam manakala Stesen Meteorologi Pencemaran Udara Perai, merekodkan jumlah hujan sebanyak 8.4 mm.

“Stesen Meteorologi Bayan Lepas pula merekodkan jumlah hujan sebanyak 4.8mm juga bagi tempoh sama dan pihak kami akan terus memantau serta mengemas kini amaran cuaca supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian hujan lebat dan angin kuat yang melanda beberapa kawasan di bahagian pulau di Pulau Pinang pada kira-kira 5 petang semalam, banyak pokok tumbang dan struktur bumbung tercabut, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata kelajuan angin yang direkodkan sewaktu kejadian ribut semalam adalah sekitar 68 kilometer sejam.

Katanya berdasarkan pemantauan dan maklumat diterima pihaknya mendapati 25 lokasi di Pulau Pinang dilaporkan berlaku kejadian pokok tumbang dan dua lokasi merekodkan kejadian struktur bumbung diterbangkan angin.

“Pasukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil tindakan segera selepas menerima maklumat berhubung kejadian tersebut dengan mengalihkan pokok-pokok yang tumbang dan hari ini mereka meneruskan kerja-kerja pembersihan pokok tumbang yang dijangka dapat diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

599
Kongsi :
Previous post Najib dihalang lupus aset US$681 juta, boleh keluar maksimum RM100,000 sebulan
Next post JPN Melaka proses 60 permohonan MyKad, sijil kelahiran menerusi Mekar
Ubah saiz-+=