Sorting by

×

JPN Melaka proses 60 permohonan MyKad, sijil kelahiran menerusi Mekar

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

ALOR GAJAH, 9 Feb – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka telah memproses 60 permohonan dokumen pengenalan diri MyKad dan sijil kelahiran bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) sepanjang tahun lepas.

Pengarah JPN Melaka Norazle Sulaiman berkata menerusi program itu, Pasukan Mekar JPN Melaka akan turun padang ke rumah pemohon setiap minggu bagi melakukan proses pengeluaran atau penggantian MyKad atau sijil kelahiran.

“Program ini telah diwujudkan oleh JPN sejak lama dahulu cuma ia dijenamakan semula baru-baru ini sebagai Program Mekar dan selalunya JPN Melaka menerima hampir 150 permohonan setiap tahun tetapi disebabkan pandemik COVID-19, jumlah permohonan yang diterima agak berkurang.

“Pada tahun lepas sehingga hari ini, kita telah menerima 17 permohonan dan hari ini kita menguruskan lima permohonan penukaran MyKad antaranya melibatkan golongan warga emas dan individu yang menghadapi kesukaran untuk bergerak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program berkenaan di Taman Pengkalan Indah di sini hari ini.

Katanya, program tersebut merupakan antara pendekatan proaktif JPN bagi memastikan setiap penduduk di negara ini yang layak mendapat dokumen pengenalan diri yang sah sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata Pasukan Mekar JPN mendapat kerjasama dan maklumat daripada pelbagai pihak antaranya Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dun (Japerun), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), penghulu dan masyarakat setempat yang sentiasa prihatin tentang individu di sekililing mereka yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri.

Katanya golongan OKU, warga emas, pesakit terlantar dan individu yang tinggal di kawasan pedalaman yang ingin mendapatkan janji temu menerusi Program Mekar JPN boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN Melaka di talian 06-2326600/6881 atau emel ke [email protected].

Sementara itu, suri rumah Norsiah Md Nor, 59, berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada JPN Melaka kerana memudahkan urusannya dan suami, Omar Md Dom, 62, yang merupakan pesara polis untuk menukar kad pengenalan kerana mereka sukar untuk ke pejabat JPN berhampiran.

“Makcik tidak tahu memandu manakala pakcik pula tidak boleh memandu. Pergerakannya terbatas selepas dia mengalami serangan angin ahmar kira-kira setahun lepas. Anak-anak pula tinggal di luar Melaka. Program ini sangat memudahkan golongan warga emas dan yang sukar berulang-alik ke pejabat JPN,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1031
Kongsi :
Previous post Awan kumulonimbus bawa ribut petir ke P.Pinang semalam – Met Malaysia
Next post Tergamam ular sawa telan angsa
Ubah saiz-+=