Sorting by

×

Tergamam ular sawa telan angsa

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

TABOH NANING 9 Feb – Bunyi bising dari reban membawa kepada penemuan ular sawa yang membaham seekor angsa di Taboh Naning awal pagi tadi.

Nur Sahar Ishak, 42, berkata, kejadian itu hanya disedari setelah dia terbangun dari tidur akibat bunyi bising tersebut pada jam 4.30 pagi.

Menurutnya, dia kemudiannya memeriksa arah bunyi tersebut yang datangnya dari arah reban peliharaan angsa dan itik miliknya.

Dia yang bekerja sebagai pemandu van sekolah itu berkata, pada mulanya dia menyangka bunyi tersebut angkara khinzir yang sebelum itu sering menganggu tanaman penduduk di situ.

“Tetapi saya tidak yakin bunyi bising itu angkara khinzir kerana biasanya haiwan tersebut datang menyerang senyap-senyap.

“Namun apabila saya periksa keadaan dalam reban alangkah terkejutnya saya melihat seekor ular sawa sepanjang tiga meter seberat 10 kilogram sedang berlingkar di situ,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Katanya, ular tersebut dilihat kekenyangan setelah menelan seekor daripada empat ekor angsa peliharaannya yang dikurung pada reban tersebut.

Menurut Nur Sahar, selain angsa, dia turut memelihara 13 ekor itik dalam reban yang sama.

“Dalam keadaan cemas, saya bertindak menghubungi talian kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah bagi mendapatkan bantuan.

“Sementara menunggu bantuan tiba, saya lihat ular sawa tersebut mula bergerak, seperti mahu bersembunyi namun mujurlah bantuan APM tiba segera untuk menangkap ular itu,” katanya.

Katanya, kejadian serangan ular sawa awal pagi itu adalah yang pertama dialaminya dan tidak menolak kemungkinan misteri kehilangan angsa miliknya sebelum ini akibat ditelan haiwan berbisa tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1071
Kongsi :
Previous post JPN Melaka proses 60 permohonan MyKad, sijil kelahiran menerusi Mekar
Next post Angkara seleweng dua sahabat didenda RM15,000 seorang
Ubah saiz-+=