Ayam kurang: Peniaga tiada pilihan terpaksa naikkan harga

Masa Membaca:2 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 23 Mei – Isu kekurangan bekalan ayam segar di pasaran masih lagi membelenggu rakyat Malaysia terutamanya kepada penjual dan pengguna sehingga menyebabkan ada yang tidak mendapat bekalan tersebut sekiranya terlambat.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati rata-rata peniaga mengeluh dek kerana bekalan ayam segar sukar untuk diperolehi ketika ini sehingga mereka tiada pilihan terpaksa menaikkan harga jualan makanan.

Peniaga ayam goreng, Muhammad Syafiq Hasbullah, 33, berkata dia terpaksa menaikkan harga jualan sebanyak RM0.50 berikutan harga ayam segar di pasaran tidak menentu.

“Kita terpaksa ikut pasaran semasa, permintaan tinggi tapi bekalan kurang jadi kita terpaksa naikkan harga ayam, sebelum ini saya jual RM4 seketul tapi naik kepada RM4.50 seketul.

“Hari biasa kita perlukan bekalan ayam segar dalam 40 ekor, tapi kalau hujung minggu atau waktu cuti mencecah hingga 60 ekor sehari…setakat ini bekalan masih ada cuma dari segi harga ada saingan antara peraih dengan pembekal.

“Kalau lepas ini bekalan kurang lagi kita terpaksa cari alternatif lain, tidak mustahil akan naik harga lagi jika bekalan terhad selepas ini,” katanya ketika ditemui MHI di sini, hari ini.

Peniaga ayam goreng, Muhammad Syafiq Hasbullah, 33. Foto Iqmal Haqim Rosman

Bagi peniaga nasi ayam goreng berempah, Abdul Muiz Ariffin, 21, jika sebelum ini dia mendapat bekalan 50 ekor ayam segar sehari, kini jumlah tersebut berkurangan yang mana hanya 35 ekor sahaja bekalan diterimanya setiap hari.

“Saya niaga di sini dalam lapan bulan, sebelum ini tiada masalah bekalan ayam segar dan boleh beli hingga 50 ekor untuk sehari, sekarang bekalan kurang dapatlah 35 ekor sahaja sebab penjual nak jual pada pelanggan lain.

“Harga ayam segar pun tidak menentu dan kita terpaksa naikkan harga nasi dari RM7 kepada RM8 sebungkus, ada juga pelanggan yang mengadu harga mahal tapi kita terangkan pada mereka kenapa harga makanan naik dan alhamdulillah mereka faham,” katanya.

Sementara itu, Haryani Hamidun, 43, turut meluahkan nasib yang sama sehinggakan pernah mengalami situasi tidak mendapat bekalan ayam segar untuk berniaga.

PELANGGAN tetap menikmati hidangan berasaskan ayam walaupun kebanyakkan peniaga terpaksa menaikkan harga makanan susulan bekalan ayam yang berkurangan membabitkan bekalan ayam segar diseluruh negara. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Sebelum ini saya pernah jual ikan laga tapi kurang mendapat sambutan, jadi saya nak cuba niaga makan tengahari baru seminggu lebih, cuma kekangan di sini bekalan ayam segar susah nak dapat.

“Pernah sekali tu saya pergi pasaraya untuk beli ayam tapi dah habis, kalau lambat beli mesti tak dapat terpaksalah pergi pasaraya yang lain, pasaraya tiada had cuma kita kena bersaing, siapa cepat dia yang dapat.

“Harga makanan dijual pun cuma RM6, setakat ini saya tidak naikkan harga, cuma harap bekalan ayam segar ini sentiasa ada dan harga jangan lah naik sebab ini punca rezeki peniaga kecil macam saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1374
Kongsi :
Previous post Melaka bawa ‘rombongan’ ke Riau naik feri
Next post PM Ismail Sabri adakan lawatan ke Jepun, perkasakan dasar pandang ke timur
Ubah saiz-+=