Bahana jadi ‘Ah Long’ haram

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

MACHAP 23 Dis. – Seorang lelaki menjalankan perkhidmatan ‘Ah Long’ haram dihadapkan di Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan tidak berlesen, September lalu.

Tertuduh, Wong Kok Hing, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh Jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Afizi Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah dengan memberikan pinjaman kepada seorang individu berjumlah RM5,000 di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, di sini pada September lalu.

Tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal bagaimanapun mencadangkan RM30,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan.

Namun tertuduh diwakili Peguam Long Meng Si merayu kepada mahkamah agar jaminan dan hukuman yang rendah dikenakan kepada tertuduh kerana tertuduh menghadapi masalah kesihatan serta perlu menanggung kedua ibu bapa dan bersedia menerima syarat tambahan.

Afizi dalam penghakimannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan dua penjamin tempatan selain passport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada Balai Polis terdekat.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 Januari depan.

Views:

643
Kongsi :
Previous post Harap semua bersatu hati gerakkan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 – Nancy
Next post Sembilan inisiatif Polis Melaka jamin keselamatan awam
Ubah saiz-+=